JAKARTA, 11 Dis. 2012 - Indonesia mengesahkan, pihaknya telah mengesan sejenis virus selesema burung jenis baru yang lebih berbahaya, yang menyebabkan beratus-ratus ribu itik maut sejak beberapa minggu lalu.
Ketua Veterinar Kementerian Pertanian Indonesia, Syukur Iwantoro berkata, patogen itu dikenali sebagai virus selesema burung sub jenis H5N1 dengan clade 2.3.
Clade merupakan kumpulan organisma terutama spesies yang mempunyai keturunan sama.
"Penemuan ini merupakan clade baru ditemui buat pertama kali di Indonesia dan sangat berbeza daripada selesema burung ditemui sebelum ini iaitu clade 2.1,'' katanya dalam surat yang diterima oleh AFP.
Surat tersebut telah diserahkan kepada pejabat kerajaan tempatan dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Sebuah persatuan penternak sebelum ini melaporkan kematian lebih 300,000 ekor itik di beberapa wilayah di Jawa sejak bulan lalu kepada kementerian tersebut.
Syukur meminta kajian selanjutnya dilakukan bagi meneliti perbezaan genetik virus tersebut sebelum ini dengan yang yang baru ditemui.
"Terdapat jangkaan virus ini tersebar dari Vietnam atau Thailand,'' kata Setiausaha Jawatankuasa Zoonosis Nasional yang memantau selesema burung, Emil Agustiono. - AFP

Tiada ulasan:
Catat Ulasan