2+4 hrs...Twogether Fourever

/

Osama vs Obama

WAJAH mayat Osama bin Laden yang tersiar di Internet dan digunakan oleh beberapa akhbar dan stesen televisyen dikhuatiri palsu.
 
Operasi pembunuhan Osama
 
WASHINGTON - Dalam kegelapan malam, beberapa helikopter milik tentera Amerika Syarikat (AS) menghampiri sebuah kawasan kediaman yang dikelilingi dinding tinggi di Pakistan, awal pagi semalam, dalam misi untuk membunuh individu yang dianggap sebagai ketua pengganas dunia.
 
Dan kurang 40 minit kemudian, Osama Laden dilaporkan terbunuh bersama empat lagi individu lain di dalam rumah agam itu dan tentera AS beredar dari lokasi serangan sambil membawa bersama mayat pemimpin kumpulan militan Al-Qaeda itu.
 
Presiden AS, Barack Obama yang mengumumkan kematian Osama turut memberitahu bahawa misi dilancarkan pasukan khas Amerika Syarikat itu dijalankan dengan kerjasama kerajaan Pakistan.
 
Kawasan kediaman Osama terletak 100 kilometer di utara ibu negara Pakistan, Islamabad dan dipercayai dibina 5 tahun lalu dengan tujuan khusus untuk menyembunyikannya.
 
Selepas berbulan-bulan menjalankan risikan, pasukan khas AS mengesan seorang penghantar barang yang dikaitkan dengan Osama di bandar Abbottabad, iaitu kawasan kediaman dianggap mewah di Pakistan.
 
Menurut pegawai AS, kediaman tiga tingkat milik Osama yang mempunyai beberapa tingkap mempunyai kawalan paling ketat di kawasan itu.
 
Semasa misi itu dimulakan selepas arahan dikeluarkan Obama pada Jumaat lalu, pasukan khas dihantar melaporkan rumah itu dilindungi dinding 5.5 meter dan dilengkapi pagar dawai berduri.
 
Serangan ke atas rumah itu dilancarkan selepas pasukan AS mendakwa maklumat risikan diterima membuktikan rumah itu dibina khas bagi melindungi suspek pengganas dipercayai Osama.
 
Pasukan khas AS dalam operasi itu turut melaporkan menerima tentangan daripada Osama dan tiga lelaki lain sejurus mendarat daripada helikopter, menyebabkan pertempuran berlaku.
 
Akhirnya, Osama dan empat yang lain dilaporkan terbunuh dalam serangan itu, termasuk seorang wanita, dipercayai isteri Osama, yang turut berada di dalam rumah tersebut.
 
AS mendakwa kononnya wanita itu digunakan sebagai perisai oleh salah seorang lelaki yang diserang. Menurut sumber, Osama dilaporkan ditembak di kepala.
 
Misi turut disertai agensi perisikan Pakistan yang berada di tapak serangan. Tiada laporan kematian atau kecederaan dilaporkan di pihak AS walaupun sebuah helikopter milik tentera negara itu dilaporkan terhempas semasa serangan berikutan masalah mekanikal yang kemudian dimusnahkan dengan bom bagi tujuan keselamatan.
 
Operasi membunuh Osama turut disaksikan secara langsung oleh Pengarah CIA, Leon Panetta di ibu pejabat agensi itu di Virginia, AS.
+
 
Obama umumkan kematian Osama
 
WASHINGTON - Sebaik sahaja Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dimaklumkan mengenai kematian Osama bin Laden, beliau membuat pengumuman rasmi mengenainya dalam satu ucapan di White House. Berikut adalah ringkasan ucapannya:
 
"Selamat malam. Malam ini, saya melaporkan kepada rakyat AS dan dunia bahawa AS telah menjalankan operasi yang berjaya membunuh Osama bin Laden, pemimpin Al-Qaeda dan pengganas yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan beribu-ribu lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.
 
"Kira-kira 10 tahun lalu, satu hari yang cerah pada bulan September telah digelapkan dengan serangan paling buruk dalam sejarah ke atas rakyat Amerika. Imej-imej serangan 9/11 kekal dalam memori kita. Hampir 3,000 nyawa warga AS diragut, sekali gus meninggalkan satu lubang besar di hati kita.
 
"Pada 11 September 2011, dalam kesedihan, rakyat Amerika bersatu. Kita menghulurkan bantuan kepada jiran dan menawarkan darah kita kepada mereka yang tercedera. Kita menguatkan kembali hubungan antara satu sama lain dan mengukuhkan perasaan cinta terhadap komuniti serta negara.
 
"Kita juga bersatu dalam usaha melindungi negara dan membawa individu yang bertanggungjawab ke atas serangan ganas ini ke muka pengadilan. Kita segera tahu bahawa serangan 9/11 dilakukan oleh Al-Qaeda, satu organisasi yang diketuai oleh Osama bin Laden yang secara terbuka melancarkan perang ke atas AS. Jadi, kita turut melancarkan perang menentang Al-Qaeda demi melindungi rakyat, rakan dan sekutu kita.
 
"Namun, Osama bin Laden berjaya mengelak daripada ditangkap dan melarikan diri dari sempadan Afghanistan ke Pakistan. Pada masa yang sama, Al-Qaeda terus beroperasi di sepanjang sempadan tersebut dan menerusi rangkaiannya di seluruh dunia.
 
"Tidak lama selepas mengambil alih pentadbiran, saya mengarahkan Pengarah CIA, Leon Panetta untuk menjadikan penangkapan atau pembunuhan Osama sebagai keutamaan dalam perang menentang Al-Qaeda. Di samping meneruskan usaha melemahkan rangkaian pengganasnya.
 
"Hari ini, atas arahan saya, satu pasukan tentera AS telah melancarkan operasi di Abbottabad, Pakistan. Tiada tentera yang tercedera dan AS berjaya membunuh Osama bin Laden dan mengambil mayatnya.
 
"Kematian Osama adalah pencapaian paling signifikan dalam usaha menumpaskan Al-Qaeda. Namun, itu bukan bermakna usaha kita sudah berakhir. Pastinya Al-Qaeda akan meneruskan serangan. Kita juga ingin menegaskan sekali lagi bahawa AS tidak dan tidak pernah berperang dengan Islam. Osama bukan pemimpin Islam, tetapi pembunuh ramai orang Islam.
 
"Jadi, pada malam ini, kita boleh katakan kepada ahli keluarga yang kehilangan mereka yang tersayang akibat keganasan Al-Qaeda: Keadilan telah berjaya ditegakkan.
 
"Terima kasih. Semoga Tuhan merahmati kamu dan Amerika." - Agensi
 
 
+
 
Osama mati ditembak di kepala
 
WASHINGTON - Ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden dibunuh oleh anggota-anggota pasukan komando Amerika Syarikat (AS) di Pakistan malam kelmarin selepas sepuluh tahun diburu setelah dia dituduh menjadi dalang serangan pengganas 11 September 2001 yang menyebabkan bangunan berkembar World Trade Centre (WTC) di New York runtuh.
 
Osama, 54, terbunuh dalam satu pertempuran dengan komando-komando AS di sebuah rumah mewah bernilai AS$1 juta (RM2.96 juta) yang menjadi tempat perlindungannya dekat bandar Abbotabad yang merupakan lokasi pelancongan, pusat pendidikan dan menempatkan Akademi Tentera Pakistan.
 
Rumah dua tingkat tersebut yang dikelilingi tembok tinggi dan kawat berduri terletak sekitar 100 meter dari akademi tentera Pakistan dan 60 kilometer dari Islamabad.
 
Empat buah helikopter menyertai operasi serbuan ke atas rumah tersebut.
 
Menurut beberapa pegawai Pakistan di bandar itu, sekumpulan pejuang yang berada di atas bumbung rumah berkenaan melepaskan tembakan grenad ke arah helikopter-helikopter itu.
 
+
 
Ujian DNA sahkan Osama terbunuh
 
Ulama sifatkan pengebumian di laut bertentangan Islam
 
WASHINGTON: Ujian DNA mengesahkan bahawa Osama bin Laden sudah meninggal dunia, kata seorang pegawai Amerika Syarikat semalam, sehari selepas serangan tentera khas Amerika Syarikat terhadap pemimpin al-Qaeda itu di Pakistan.
 
Pegawai terbabit yang enggan mendedahkan nama mengesahkan satu DNA sepadan mayat Osama yang dilakukan ujian sebelum disemadikan di laut selepas serangan di Pakistan terbabit.
 
"DNA Osama didapati sepadan dengan beberapa ahli keluarga. Dan didapati sekurang-kurangnya 99 peratus DNA terbabit menyamai Osama bin Laden," kata pegawai kedua kepada AFP.
 
Sementara itu, ulama Islam menyifatkan pengebumian jenazah Osama di laut bertentangan dengan Islam dan boleh mencetuskan kemarahan militan untuk membalas dendam dengan mensasarkan Amerika Syarikat.
 
Walaupun banyak yang dipertikaikan membabitkan pengebumian terbabit termasuk dari segi ajaran Islam sendiri, sekumpulan cendikiawan Islam menyifatkan ia sebagai menghina iaitu tidak mengikut amalan Islam dengan mengebumikan mayat di dalam kubur dengan mukanya mengadap Kiblat.
 
Mereka menegaskan bahawa pengebumian di laut hanya dibenarkan dalam kes di mana kematian berlaku di dalam kapal.
 
"Amerika Syarikat mahu menghina masyarakat Islam dengan melakukan pengebumian berkenaan," kata Omar Bakri Mohammed seorang guru agama di Lubnan.
 
Seorang pegawai Amerika Syarikat berkata keputusan berkenaan dibuat selepas mendapati sukar bagi sesebuah negara untuk menerima jenazah Osama. Ada juga spekulasi kebimbangan sekiranya kawasan kubur berkenaan bakal menjadi tumpuan militan.
 
Presiden Barack Obama berkata jenazah Obama dikendalikan mengikut ajaran Islam yang menuntut supaya disegerakan pengebumian.
 
Bagaimanapun Omar Bakri menyifatkan sebagai satu 'kesilapan' yang boleh mencetuskan kemarahan.
 
Sementara itu, di NEW YORK beribu-ribu orang membanjiri jalan di sekitar 'Ground Zero' awal pagi semalam untuk meraikan kematian Osama bin Laden yang didakwa menjadi perancang serangan pengganas 11 September yang meninggalkan kesan mendalam terhadap penduduk New York.
 
Saudara mara lebih 2,700 orang yang terbunuh dalam serangan pesawat terhadap World Trade Center di sini pada 11 September 2001 itu – termasuk anggota bomba dan polis yang terbabit dalam usaha menyelamat – membanjiri jalan sejurus selepas pengumuman dibuat mengenai kematian pemimpin kumpulan Al-Qaeda berkenaan di Pakistan.
 
"Tidak ada kegembiraan yang lebih besar daripada berita ini dalam hidup saya," kata Harry Gomez, seorang anggota pengawal kebangsaan yang menjadi orang pertama ke Ground Zero – tapak dua menara World Trade Center yang roboh akibat dirempuh dua pesawat penumpang dirampas pengganas pada hari malang berkenaan yang mengejutkan dunia dan mencetuskan 'perang menentang keganasan' dilancarkan bekas Presiden George W Bush.
 
Ketua polis Raymond Kelly menganggap kematian Osama sebagai berita yang dinanti-nantikan keluarga mangsa.
 
"Penduduk New York menanti selama 10 tahun untuk mendengar berita ini," kata Datuk Bandar, Michael Bloomberg.  -  AFP/AP
 
+
 
Jenazah Osama dibuang ke laut
 
WASHINGTON - Jenazah ketua kumpulan Al-Qaeda, Osama bin Laden yang dibunuh pasukan keselamatan Amerika Syarikat (AS) dalam satu operasi rahsia di Pakistan awal pagi semalam didakwa telah disempurnakan secara Islam sebelum disemadikan di laut.
 
Beberapa media AS seperti rangkaian televisyen kabel AS termasuk CNN, MSNBC dan Fox melaporkan, seorang pegawai kanan AS mengesahkan kepada mereka bahawa jenazah Osama telah disemadikan di laut tanpa mengulas lanjut.
 
Beberapa pegawai kanan AS lain bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan apabila mereka diminta mengesahkan laporan itu oleh agensi berita Associated French Press (AFP).
 
Sebelum itu, seorang pegawai pentadbiran AS berkata, jenazah ketua Al-Qaeda berusia 54 tahun itu dikebumikan menurut syariat Islam.
 
"Kami memastikan bahawa ia (jenazah Osama) dikendalikan menurut amalan dan tradisi agama Islam," kata pegawai berkenaan.
 
+
 
Ayman al-Zawahri ganti Osama

ISLAMABAD - Kematian Osama bin Laden mungkin menyaksikan orang kuat kedua pergerakan itu, Ayman al-Zawahri yang juga seorang pakar bedah kelahiran Mesir dinamakan sebagai pemimpin baru menggantikan Osama memimpin rangkaian tersebut.
 
Zawahri sering menjadi rujukan Osama serta rangkaian al-Qaeda dan dalam setiap penampilan mesej videonya, beliau sering menggesa penduduk Islam memerangi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan tentera Amerika Syarikat (AS) di Libya.
 
Dilahirkan dalam keluarga kelas atasan di sebuah kawasan kediaman mewah di Kaherah, pakar bedah itu merupakan individu kedua paling dikehendaki oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) selepas Osama.
 
Zawahri dan Osama berjaya meloloskan diri dalam satu operasi AS untuk menumpaskan Taliban di Afghanistan pada akhir 2001 selepas serangan 11 September yang dilancarkan al-Qaeda. – Reuters
 
+
 
Gambar mayat Osama didakwa palsu
 
JAKARTA – Wajah mayat ketua kumpulan Al-Qaeda yang berlumuran darah yang tersebar meluas di Internet dan dan disiarkan oleh agensi berita Associated French Press (AFP), lapor akhbar Kompas semalam.
 
Stesen televisyen Pakistan menyatakan, kesahihan foto berkenaan masih belum dapat disahkan secara rasmi.
 
AFP memberitahu, kombinasi gambar jelas menunjukkan bahawa janggut dan bahagian bawah gambar berkemungkinan besar tidak asli dan dibuat dengan menggunakan teknik pertindihan gambar.
 
Menurut AFP, terdapat kemungkinan foto mayat Osama itu adalah palsu.
 
Tambah agensi berita berkenaan, kesahihan gambar mayat Osama dipertikaikan kerana raut muka dan janggut pada mayat Osama amat mirip semasa dia masih hidup.
 
AFP tidak menyatakan sumber gambar mayat itu diambil. – AFP
 
+
 
Osama pejuang atau pengganas
 
Tak habiskan pengajian tumpu aktiviti agama, terjebak gerakan radikal
 
ISLAMABAD: Dilahirkan di Riyadh, Arab Saudi pada 1957, Osama bin Laden seorang daripada 54 anak Mohamad Bin Laden, pemilik empayar pembinaan di Arab Saudi dan hartawan yang mempunyai kaitan dengan keluarga diraja Arab Saudi. Ibunya berasal dari Syria.
 
Pada 1969, bapanya meninggal dunia dalam kemalangan helikopter dan ketika itu Osama berusia 11 tahun dan dipercayai mewarisi kekayaan AS$80 juta (RM236 juta). Beliau kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Jeddah.
 
Osama, satu-satunya anak lelaki Mohammad daripada isteri ke-10, Hamida al Attas. Ibu bapanya bercerai sebaik beliau dilahirkan dan ibunya kemudian mengahwini Mohammed al-Attas. Pasangan itu mempunyai empat anak dan Osama membesar bersama adik tirinya.
 
Beliau dibesarkan sebagai pengikut Wahabi dan memasuki sekolah elit, Sekolah Al-Thager Model, antara 1968 hingga 1976 sebelum melanjutkan pengajian di Universiti King Abdulaziz tetapi ada sumber memberitahu beliau tidak menghabiskan pengajiannya. Beliau dilihat berminat terhadap aktiviti agama dan jihad serta kerja kebajikan. Beliau juga minat menulis sajak.
 
Pada usia 17, Osama berkahwin dengan isteri pertama, Najwa Ghanem di Latakia.
 
Menurut CNN, sehingga 2002, Osama dikatakan berkahwin dengan empat wanita dan mempunyai kira-kira 25 anak antara 12 hingga 24 tahun.
 
Sekitar 1973, Osama mewujudkan rangkaian dengan kumpulan ekstrim Muslim dan mengembangkan empayarnya menerusi perniagaan pembinaan.
 
Pada 26 Disember 1979, tentera Soviet menawan Afghanistan, perang yang mengambil masa 10 tahun dan generasi radikal Islam termasuk Osama muncul.
 
Pada 1984, Osama ke Afghanistan untuk berjihad menentang pasukan tentera Soviet. Di sana, beliau memberi bantuan kewangan dan mengetuai 20,000 pejuang Islam yang direkrut di seluruh dunia.
 
Empat tahun kemudian, Osama dipercayai menubuhkan al-Qaeda atau pangkalan. Apabila Soviet mengundurkan tenteranya dari Afghanistan pada 1989, al-Qaeda menjadi rangkaian kumpulan pelampau Islam dengan keanggotaan di antara 35 hingga 60 negara serta beribu pejabat di Afghanistan.
 
Pada 1991, tentera bersekutu diketuai Amerika melancarkan perang bagi menewaskan kependudukan Iraq di Kuwait. Osama mengisytiharkan jihad terhadap Amerika kerana menempatkan tenteranya di Arab Saudi, yang juga tanah kelahiran dan dua bandar suci umat Islam.
 
Pada 1992, Osama kembali ke Arab Saudi tetapi sokongannya terhadap keganasan kumpulan pelampau Islam di Mesir dan Algeria menyebabkan negara asalnya menggugurkan pasportnya dan dibuang dari Arab Saudi.
 
Beliau kemudian menetap di Sudan. Arab Saudi melucutkan kewarganegaraan Osama pada 1994 selepas beliau mengeluarkan fatwa mencela Amerika dan keluarga diraja Arab Saudi. – AFP / Agensi
  
+
 
Kesetiaan Pakistan perangi pengganas jadi tanda tanya
 
ABBOTTABAD: Pembunuhan Osama bin Laden semalam mencetuskan tanda tanya baru terhadap kesetiaan Pakistan menyertai perang ke atas al-Qaeda.
 
Selama bertahun-tahun, Barat percaya Osama bersembunyi di kawasan paling sukar didekati di dunia yang terletak di kawasan separa autonomi di sempadan Pakistan - Afghanistan.

Namun, akhirnya Osama didapati selama ini berlindung dalam kediaman yang boleh dianggap mewah berhampiran Islamabad.
 
Seorang pakar ketenteraan disegani, Rahimullah Yusufzai, berkata orang akan tertanya-tanya bagaimana Osama berjaya menyelinap ke kediaman mewah itu.

"Abbottabad adalah bandar tentera dan terletak berhampiran akademi tentera," katanya.
 
Pakistan menyatakan, operasi itu dilakukan AS secara bersendirian dan mereka hanya dimaklumkan selepas serbuan dilakukan.
 
Empat jam selepas Presiden Barack Obama mengumumkan kematian Osama, kerajaan Pakistan dan pemimpin tentera negara itu masih berdiam diri sebelum akhirnya Kementerian Luar mengeluarkan kenyataan sangat berhati-hati mengenainya.
 
Ia menyatakan, Pakistan tidak dimaklumkan terlebih awal mengenai operasi itu.
 
Penganalisis pula berkata, Pakistan berdepan dengan gelombang baru serangan militan Islam yang ingin membalas dendam terhadap kematian Osama. - AFP
 
+
 

Rumah dipantau sejak Ogos
 
WASHINGTON: Beberapa helikopter kelihatan berlepas dalam kegelapan malam dalam satu daripada misi antipengganas paling penting dalam sejarah Amerika Syarikat. Disebabkan ia terlalu rahsia, hanya beberapa orang terpilih di kalangan pegawai kanan AS mengetahui apa yang bakal berlaku.
 
Lokasinya, sebuah kawasan dikawal ketat di sebuah bandar elit di Pakistan, kira-kira dua jam perjalanan dari Islamabad. Sasarannya - Osama bin Laden.

Pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) menemui kawasan itu pada Ogos tahun lalu ketika memantau pergerakan seorang utusan al-Qaeda.
 
CIA memang mengintip utusan itu selama beberapa tahun, iaitu sejak beberapa tahanan disoal siasat mendakwa dia sangat dipercayai Osama dan berkemungkinan besar tinggal bersama pemimpin al-Qaeda itu.

Terletak di kawasan kejiranan elit, bangunan itu dikelilingi tembok setinggi sehingga enam meter dan dilengkapi kawat berduri.

Dua pintu kawalan diletakkan di satu-satunya jalan masuk ke situ.
 
Tingkat tiga bangunan itu dilindungi tembok khas setinggi lebih dua meter.

Walaupun terletak di kawasan elit, premis itu tidak memiliki talian telefon atau Internet, manakala penghuninya kerap membakar sampah berbanding membuangnya di luar.
 
Perisik percaya bangunan bernilai berjuta-juta ringgit itu dibina lima tahun lalu untuk melindungi seorang tokoh penting, tetapi mereka tertanya-tanya siapakah individu terbabit.

Selepas meneliti dan menyelidik berkali-kali, CIA hampir pasti tokoh itu adalah Osama.
 
Presiden Barack Obama menjelaskan mengenai operasi itu dengan panjang lebar pada malam kelmarin selepas butiran mengenainya diperoleh hasil temu bual dengan pihak berkuasa antipengganas dan perisikan.
 
Katanya, selama dua setengah bulan kemudian, Obama mengetuai lima mesyuarat Majlis Keselamatan Kebangsaan yang bertemu khusus untuk membincangkan sama ada Osama benar-benar bersembunyi di kediaman mewah berkenaan.
 
"Jika benar, bagaimana mahu bertindak ke atasnya?" katanya.
 
Biasanya, AS berkongsi maklumat risikan antipengganas dengan sekutu kepercayaannya seperti Britain, Kanada dan Australia, selain melancarkan operasi di Pakistan dengan kerja sama pasukan keselamatan negara berkenaan.
 
Namun, misi semalam terlalu penting dan amat sulit.
 
Pada 29 April, Obama meluluskan operasi membunuh Osama.
 
Ia memerlukan ketepatan mutlak, mengatasi kemampuan dilakukan pesawat tanpa juruterbang AS, Predator.
 
Untuk menyempurnakannya, Obama mengumpulkan beberapa anggota SEAL (unit elit tentera laut) dan meletakkan mereka di bawah arahan langsung Pengarah CIA, Leon Panetta.

Bilik mesyuarat Panetta juga ditukar menjadi pusat pemerintahan khas operasi.
 
Butiran sebenar bagaimana serbuan dilakukan masih kabur, tetapi tiada seorang pun tentera AS cedera.
 
Seorang sumber kanan cuma berkata, Osama melawan ketika diserbu dan dia akhirnya terbunuh akibat tembakan di kepala.

Tepukan dan sorakan bergema di dalam pusat pemerintahan khas operasi ketika maklumat mengenai kematian Osama tiba tengah hari semalam. - Reuters
Unknown , Rabu, Mei 04, 2011 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog