Gaya Muammar Gaddafi semasa berucap kepada para penyokongnya.
Gaddafi muncul beri ucapan
TRIPOLI Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi muncul di halaman istananya kelmarin untuk menyeru rakyat Libya supaya bersedia untuk berperang sekali gus menunjukkan pemimpin Libya itu masih hidup.
"Kita tidak akan menyerah diri. Kita akan mengalahkan mereka (tentera Barat) dengan apa jua cara pun. Kita bersedia untuk berperang sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang. Kita akan menang pada akhirnya," kata Gaddafi, dalam rakaman video menunjukkan beliau berucap di hadapan sejumlah penyokongnya di halaman istananya di Bab Al-Aziziyah di sini.
"Serangan ini yang dilakukan kelompok fasis akan tamat dalam tong sampah sejarah," katanya.
Ucapannya itu diiringi oleh percikan bunga api di Tripoli semasa para penyokong pemimpin tersebut bersorak dan melepaskan tembakan ke udara.
Sebelum ini, nasib Gaddafi tidak dapat dipastikan selepas sebahagian istana itu musnah akibat dibedil peluru berpandu tentera bersekutu.
Pada awal semalam, stesen televisyen CNN melaporkan serangan udara tentera bersekutu dilancarkan di bandar Misrata, timur Tripoli.
Di sebalik kata-kata semangat Gaddafi, terdapat laporan bahawa pemimpin Libya itu dipercayai sedang mencari penyelesaian kepada konflik di Libya selain peperangan.
Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton memberitahu stesen televisyen ABC bahawa orang kanan Gaddafi telah menghubungi sekutu Libya di seluruh dunia bagi mencari penyelesaian kepada krisis di negara itu.
Penentangan rakyat terhadap Gaddafi, 68, bermula sejak 15 Februari lalu susulan kejayaan gerakan reformasi kearah pemerintahan demokrasi di Tunisia dan Mesir.
Pertempuran di antara pihak pemberontak dan tentera Gaddafi masih belum berakhir manakala tentera Barat diketuai AS campur tangan dengan menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya sejak Ahad lalu.
Zon larangan terbang itu diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Khamis lalu dengan tujuan untuk mengelak Gaddafi melancarkan serangan ke atas penduduk awam.
Tujuan AS, Britain dan Perancis menyertai zon larangan itu juga adalah untuk memastikan Gaddafi berundur daripada jawatannya. - Agensi
+
Gaddafi selar kuasa Barat
TRIPOLI 23 Mac - Kuasa Barat yang membedil sistem pertahanan Libya akhirnya 'akan dimasukkan ke dalam tong sampah sejarah', kata Muammar Gaddafi, ketika askarnya menyekat kemaraan pemberontak, meskipun diserang dari udara selama empat malam, berturut-turut.
Serangan udara kuasa Barat telah berjaya melumpuhkan tentera udara Libya dan memaksa askar dan kereta kebal tentera Libya berundur dari pinggir kubu pemberontak di Benghazi, tetapi pemberontak yang tidak tersusun dan kekurangan senjata gagal memanfaatkan bantuan udara itu dan terus terperangkap.
Tentera pemberontak belum berupaya mengusir askar Gaddafi dari persimpangan utama bandar Ajdabiyah di timur, manakala kereta kebal tentera kerajaan terus membedil Misrata, bandar terbesar terakhir yang cuba dipertahankan oleh pemberontak.
Terdapat kemungkinan besar berlaku kebuntuan di darat, kata penganalisis.
Sekurang-kurangnya dua letupan kedengaran di Tripoli sebelum subuh hari ini, sementara deruan sebuah jet pejuang kedengaran di ruang udara disusuli tembakan bertalu-talu meriam antipesawat.
"Kita tidak akan menyerah kalah, kita akan menewaskan mereka dengan apa cara sekalipun kerana kita bersedia untuk berperang dalam jangka pendek atau jangka panjang....kita akan mencapai kemenangan akhirnya," kata Gaddafi kepada penyokong yang membentuk perisai manusia di pekarangan kediamannya di Tripoli.
Beliau menyifatkan serangan itu sebagai keganasan yang dilancarkan kumpulan fasis yang kesudahannya akan 'dimasukkan ke dalam tong sampah sejarah'.
Kerajaan Libya menafikan tenteranya melancarkan serangan, sebaliknya mendakwa mereka hanya mempertahankan diri apabila diserang, tetapi pemberontak dan penduduk berkata, kereta kebal rejim meneruskan bedilan ke atas Misrata di barat, menyebabkan 40 orang terbunuh kelmarin, di samping menyerang pekan kecil Zintan di sempadan Tunisia.
Kemaraan pemberontak di timur juga tersekat di pinggir Ajdabiyah sejak baki kereta kebal Gaddafi berkawal di sana selepas barisan kenderaan berperisai tentera beliau yang sedang mara ke Benghazi musnah dalam serangan udara tentera Perancis lewat Sabtu lalu.
Pemberontak yang berlindung di balik bukit pasir daripada tembakan meriam kereta kebal dari bandar itu tidak mempunyai senjata berat, kepimpinan, komunikasi atau pelan.
Negara-negara Barat keberatan menempatkan tentera darat yang dapat memberi panduan melancarkan serangan udara dengan lebih tepat bagi membantu pemberontak menawan Tripoli.
Sementara itu, penganalisis pertahanan berkata, kuasa Barat dijangka menanggung kos melebihi AS$1 bilion (RM3 bilion) untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya jika operasi itu berlarutan selama beberapa bulan. - Reuters
+
Libya akan menang perang: Gaddafi
TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menyatakan kesediaan Libya untuk berperang ketika pemimpin Barat menimbang langkah seterusnya pada hari kelima serangan tentera bersekutu terhadap negara yang kaya dengan minyak itu.
"Kita akan menang peperangan ini," kata Gaddafi kepada penyokong di perkarangan bangunan Bab Al-Aziziyah di Tripoli yang menjadi sasaran peluru berpandu tentera bersekutu.
Awal semalam, Cable News Network (CNN) melaporkan, serangan udara tentera bersekutu dilancarkan sepanjang malam di bandar Misrata, timur Tripoli.
Pemberontak berkata mereka menghadapi serangan bertalu-talu di bandar Misrata yang dikepung tentera Gaddafi sejak beberapa minggu lalu. Antara yang terbunuh empat kanak-kanak, kelmarin.
Awal semalam, Cable News Network (CNN) melaporkan, serangan udara tentera bersekutu dilancarkan sepanjang malam di bandar Misrata, timur Tripoli.
Pemberontak berkata mereka menghadapi serangan bertalu-talu di bandar Misrata yang dikepung tentera Gaddafi sejak beberapa minggu lalu. Antara yang terbunuh empat kanak-kanak, kelmarin.
Sementara itu, Presiden Barack Obama tiba di Washington selepas memendekkan lawatan ke Amerika Latin berkata beliau menjangka penjelasan terhadap struktur arahan operasi tentera bersekutu dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Obama berkata ada sedikit pengurangan operasi pesawat tentera udara Amerika berikutan sekutu Barat mahu mewujudkan zon larangan terbang yang diluluskan Pertubuhan Bangsa Bangsa-Bersatu (PBB) bertujuan melindungi rakyat Libya.
Kelmarin, pertempuran berlaku antara askar setia Gaddafi dengan pemberontak, ada laporan menyebut pemimpin Libya itu mencari jalan untuk keluar dari konflik. AFP
+
Gaddafi yakin kalahkan Barat
TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berkata semalam, kuasa Barat yang menyerang negaranya akan berakhir dalam tong sampah sejarah.
"Kita tidak akan menyerah kalah," kata Gaddafi kepada penyokongnya yang membentuk perisai manusia untuk melindunginya di kediaman beliau di Tripoli yang menjadi sasaran serangan pada 1996 ketika pentadbiran Reagan dan sekali lagi dalam serangan udara tentera bersekutu baru-baru ini.
"Kita akan mengalahkan mereka dengan apa cara sekali pun. Kita sudah bersedia untuk berperang, tidak kira sama ada untuk masa yang singkat atau lama," kata pemimpin Libya itu dalam siaran televisyen, kemunculan pertamanya sejak serangan udara kuasa Barat bermula Sabtu lalu.
"Serangan itu dilakukan oleh sekumpulan fasis yang akan berakhir dalam tong sampah sejarah," katanya, Ucapannya itu disusuli dengan pembakaran bunga api di Tripoli sambil orang ramai bersorak dan penyokongnya melepaskan tembakan ke udara.
Sementara itu, tentera Libya berjaya mengekang kemaraan pasukan pemberontak walaupun berdepan dengan serangan udara daripada tentera bersekutu selama empat malam berturut-turut.
Meskipun kuasa Barat melumpuhkan pasukan udara Gaddafi serta memaksa pengundurannya daripada Benghazi, bandar raya yang menjadi kubu kuat pemberontak, kumpulan penentang itu gagal mengambil kesempatan.
Mereka tidak berupaya mengusir tentera Gaddafi daripada persimpangan utama Ajdabiyah di timur sementara kereta kebal askar kerajaan mengepung bandar Misrata.
Sekurang-kurangnya dua letupan kedengaran di Tripoli awal semalam.
Menurut saksi, pesawat pejuang kedengaran di ruang angkasa bandara raya itu disusuli dengan tembakan meriam antipesawat.
Kerajaan Libya menafikan dakwaan melakukan serangan baru terhadap pemberontak dan berkata, tenteranya hanya bertindak mempertahankan diri jika diserang.
Namun, kumpulan pemberontak dan penduduk berkata, kereta kebal Gaddafi terus membedil Misrata di Barat, menyebabkan 40 orang mati Isnin lalu. - AP
+
Pemimpin Libya akan cuba kekal kuasa: Obama
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama semalam memberi amaran, Muammar Gaddafi mungkin berusaha mengekalkan kuasa meskpiun berdepan dengan serangan tentera bersekutu.
Bagaimanapun, Obama berkata, pendekatan ketenteraan bukan satu-satunya cara untuk menyingkirkan pemimpin Libya itu.
"Kita sudah mengenakan sekatan antarabangsa. Kita sudah membekukan asetnya. Kita akan terus mengenakan pelbagai tekanan terhadapnya," kata Obama kepada CNN di El Salvador.
Pemimpin Amerika itu juga mengingatkan, langkah menguatkuasakan zon larangan terbang terpaksa dilakukan selepas ketetapan Majlis Keselamatan Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diluluskan minggu lalu bagi memastikan rakyat Libya tidak menjadi sasaran serangan tentera negara mereka sendiri.
Obama yang berada di El Salvador sebagai sebahagian daripada lawatannya ke Amerika Latin berkata, beliau percaya serangan udara yang dilancarkan negaranya, Britain dan Perancis beraya menyelamatkan nyawa orang awam di Libya. - AP
+
Al Azhar kecam tentera Sekutu
KAHERAH: Pihak berkuasa tertinggi Islam di Mesir semalam mengecam serangan tentera Barat di Libya tetapi berkata, ia menyokong apa yang disifatkannya sebagai tuntutan sah revolusi rakyat negara itu.
Pesawat pengebom Barat melakukan lebih 300 penerbangan di ruang angkasa Libya dan lebih 162 peluru berpandu tomahawk dibedil dalam misi yang dimandatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melindungi penduduk awam negara itu daripada tentera kerajaan.
Universiti Al-Azhar, antara pusat pengajian tertua di dunia memberi amaran kepada Amerika Syarikat dan Britain supaya tidak memecah-belahkan Libya dan memusnahkan kekayaan sumber dan kemanusiaannya seperti yang berlaku di Iraq, lapor akhbar Al-Ahram.
Institusi yang berpusat di Kaherah itu juga mengutuk kerajaan Arab yang menindas rakyatnya sejak puluhan tahun lalu.
Menurutnya, pemimpin negara terbabit tidak sepatutnya kekal berkuasa jika ia membawa kepada lebih banyak pertumpahan darah.
"Mereka perlu meninggalkan jawatan mereka. Itu yang patut mereka lakukan sebagai menyahut gesaan rakyat yang sudah sekian lama bersabar," menurut kenyataan universiti itu.
+
Minyak matlamat utama perang
BEIJING: Media milik kerajaan China semalam mengecam serangan tentera yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan menyifatkannya sebagai usaha Barat untuk menguasai minyak dan penguasaan terhadap dunia.
"Serangan udara itu adalah semata-mata keputusan politik yang diambil oleh segelintir kuasa Barat dan mesej pertamanya ialah kuasa Barat ini masih menjadi hakim peringkat global.
"Barat sudah menguasai dunia sejak beberapa abad lalu dan hasrat untuk menguasai dunia masih menjadi strategi utamanya," kata rencana pengarang akhbar Global Times.
Dalam pada itu, akhbar People's Daily suara Parti Komunis China berkata, sebahagian besar campur tangan tentera dan politik Barat di Timur Tengah berkait dengan minyak dan kedudukan strategiknya.
"Iraq diserang kerana minyaknya, Libya diserang juga kerana minyaknya," kata akhbar itu dalam edisi seberang lautnya, Ia juga menuduh Barat berusaha menguasai sumber strategik dunia dengan kekerasan. - AFP
Sokongan dunia Arab untuk melaksanakan zon larangan terbang amat penting bagi membolehkan ketetapan Pertubuhan Bangsa Bersatu, membenarkan campur tangan tentera asing di Libya.
Bagaimanapun, tidak ada negara Arab, kecuali Qatar berkata ia akan menyumbang kepada operasi berkenaan.
Universiti Al-Azhar mengecam kegagalan institusi Arab dan Islam menangani masalah politik dan ekonomi yang akhirnya mencetuskan kebangkitan rakyat hingga menggoncangkan dunia Arab. - AP
+
3 wartawan AFP, Getty dibebaskan
TRIPOLI: Tiga wartawan, termasuk dua petugas AFP yang ditawan tentera Muammar Gaddafi sejak hujung minggu lalu, dibebaskan di Tripoli, semalam.
Pembebasan itu menjadikan tujuh wartawan dibebaskan selepas empat petugas New York Times turut dilepaskan sebelum ini.
Bagaimanapun, empat wartawan stesen televisyen al-Jazeera masih ditawan.
Sekurang-kurangnya dua petugas media terbunuh sejak Libya dilanda konflik.
Wartawan Dave Clark dan jurugambar Roberto Schmidt dari AFP serta Joe Raedle (jurugambar Getty) tiba Hotel Rixos di tengah Tripoli sebelum mereka bertemu dengan seorang rakan sejawat yang menunggu di situ.
Pengerusi AFP, Emmanuel Hoog, berkata pembebasan itu sangat menggembirakan.
"Ia adalah hasil usaha seluruh kakitangan editorial AFP dan agensi berita ini secara keseluruhan," katanya. - AFP
+
Russia, AS bertelagah
MOSCOW: Russia dan Amerika Syarikat bertelagah mengenai isu serangan tentera Bersekutu ke atas Libya, semalam, dengan pegawai kanan Washington menuduh Moscow diperdaya Muammar Gaddafi.
Dalam pertemuan dengan Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates, Presiden Russia, Dmitry Medvedev, menyatakan rasa kurang senang negara itu terhadap penggunaan kekerasan semberono tentera Bersekutu.
Kenyataan dikeluarkan Kremlin menyatakan, Medvedev bimbang terhadap pelaksanaan resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai zon larangan terbang di Libya.
"Penggunaan kekerasan membabi-buta mungkin menyebabkan orang awam terkorban," katanya.
Sebelum itu, Menteri Pertahanan Russia, Anatoly Serdyukov, menggesa gencatan senjata dilaksanakan serta-merta kerana kempen ketenteraan itu membunuh orang awam.
Serdyukov berkata, pembunuhan orang awam tidak boleh dibiarkan dan mesej itu disampaikan Russia kepada rakan sejawatnya di AS.
+
Menteri Pertahanan Britain nafi tentera angkuh
JAKARTA: Menteri Pertahanan Britain menganggap dakwaan pihak tertentu bahawa juruterbang tentera yang mengebom Libya bersikap angkuh sebagai 'mengarut'.
Kata Gerald Howarth, sebarang pandangan yang menganggap tentera terbabit mengambil pendekatan angkuh adalah tidak benar.
"Saya ulangi, misi itu dilakukan bagi melindungi orang awam. Justeru, mengapa kita perlu bertindak sebaliknya dengan mengancam nyawa orang yang sepatutnya dilindungi?" katanya.
Howarth menjawab pertanyaan wartawan Tempo yang mempertikaikan jumlah korban di kalangan orang awam kesan daripada serangan udara tentera Bersekutu di Libya sejak awal pagi Ahad lalu.
Kata Howarth, dua jet Tornado Britain berpatah balik selepas melihat ada orang awam di lokasi yang sepatutnya diserang.
"Jet Britain dan Perancis dilengkapi senjata yang mampu memusnahkan sasaran dengan sangat tepat dan ia dicipta bagi mengehadkan kesan sampingan," katanya.
Menurut Howarth, tanpa kempen ketenteraan itu, rejim Muammar Gaddafi mungkin meneruskan pengeboman di kawasan dikuasai penentangnya di Benghazi. Kata Howarth, semua pihak sepatutnya menyambut baik reaksi tentera Bersekutu itu kerana ia menunjukkan PBB mampu bertindak balas terhadap konflik di Libya.
"Tiada siapa boleh menafikan penduduk Benghazi mendapat manfaat daripada serangan itu," katanya.
Kelmarin, China dan Russia mendakwa serangan udara tentera Bersekutu menyebabkan kematian ramai orang awam.
Kedua-dua negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB itu juga menggesa gencatan senjata diambil serta-merta. - AFP
+
Belanja besar misi di Libya
WASHINGTON: Untuk mengira kos yang dibelanjakan oleh Amerika Syarikat bagi menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya bukan sesuatu yang rumit.
Kos operasi negara itu dan sekutu Eropahnya selama empat malam lalu mencecah ratusan juta dolar ketika pakatan antarabangsa itu berusaha memusnahkan sistem pertahanan udara Muammar Gaddafi dan menyelamatkan pemberontak daripada kalah.
Kos itu akan meningkat secara sederhana jika peranan Amerika dihadkan dengan Pentagon menggunakan bajet sedia ada untuk membiayai perbelanjaan atau ia boleh meningkat mendadak jika operasi itu berlarutan selama beberapa minggu atau bulan.
Sehingga Selasa lalu, tentera bersekutu melepaskan sekurang-kurangnya 162 Tomahawk yang dilancarkan oleh kapal perang dan kapal selam. Senjata berkenaan berharga antara AS$1 juta (RM3 juta) hingga AS$1.5 juta sebuah.
Sementara itu, operasi kos penerbangan ulang-alik pesawat pengebom stealth B-2 dari Missouri untuk menggugurkan bom seberat 900 kilogram di negara Afrika utara itu ialah kira-kira AS$10,000. Jumlah masa yang diambil untuk perjalanan itu ialah 25 jam.
Namun, jumlah itu hanya sebahagian daripada kos sebenar. Pesawat pengebom B-2 menggunakan minyak yang mahal dan bergantung kepada pesawat tangki minyak untuk pengisian di udara serta mungkin memerlukan penggantian beberapa bahagiannya apabila kembali ke Pangkalan Tentera Udara Whiteman.
Juruterbangnya juga sudah pasti akan dibayar elaun perang.
Kumpulan kapal perang Amerika yang belayar di Mediterranean, termasuk tiga kapal selam, tiga pemusnah dan dua kapal amfibia serta sebuah pesawat F-15 yang terhempas menelan belanja kira-kira AS$75 juta.
"Setiap enam jam defisit belanjawan bertambah AS$1 bilion lagi," kata Roscoe Bartlett, anggota Republikan yang menduduki Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Kongres.
"Secara mudah, ia bermakna hutang sebanyak AS$1 bilion lagi yang perlu dibayar balik oleh anak, cucu dan cicit kami," katanya. - AFP
+
Serangan AS makin berkurangan
SAN SALVADOR: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berkata, terdapat pengurangan nyata dalam penerbangan pesawat tentera negara itu di Libya.
Bercakap pada sidang akhbar di San Salvador, pemimpin Amerika Syarikat itu berkata, beliau juga percaya, Washington boleh berkata, matlamat untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya sudah tercapai.
"Saya tidak sangsi lagi bahawa kita sudah berupaya untuk menyerahkan kawalan operasi ini kepada sebuah pakatan antarabangsa," katanya.
" Tentera Amerika Syarikat, Perancis dan Britain melancarkan serangan udara terhadap Libya hujung minggu lalu sebagai sebahagian daripada operasi kemanusiaan untuk melindungi rakyat negara itu."
Amerika Syarikat sudah menyatakan ia tidak akan menghantar anggota tentera darat ke Libya dan menegaskan fasa pertama operasi itu tertumpu pada usaha memusnahkan sistem pertahanan udaranya supaya zon larangan terbang boleh dilaksanakan secara berkesan.
Fasa kedua ialah untuk memastikan misi kemanusiaan boleh dijalankan. - AFP
+
Ban tegur Russia
TUNIS: Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, berkata Russia bertanggungjawab bekerjasama dengan Majlis Keselamatan melaksanakan resolusi diluluskan badan itu yang membenarkan serangan udara ke atas tentera Muammar Gaddafi.
Kenyataan Ban itu dikeluarkan semalam sebagai reaksi terhadap bantahan keras Moscow terhadap operasi ketenteraan Bersekutu.
Ketika undian Resolusi 1973 itu dilangsungkan Majlis Keselamatan PBB, Russia mengambil pendirian berkecuali. Pendirian sama turut diambil China.
Menurut Ban, apabila sesuatu resolusi itu diluluskan, semua negara wajib mematuhinya.
"Memanglah ada sesetengah negara yang berkecuali, tetapi apabila ia diterima, semua anggota PBB mempunyai tanggungjawab bekerjasama sepenuhnya supaya resolusi berkenaan boleh dilaksanakan," katanya pada sidang media itu.
Tentera AS bersama Britain dan Perancis melancarkan serangan peluru berpandu ke lokasi strategik milik tentera yang setia kepada Gaddafi pada awal pagi Ahad lalu.
Bagaimanapun, operasi itu mendapat kecaman daripada pemimpin beberapa negara, termasuk China dan India. - AFP
+
Jerman enggan sertai kempen Nato di Laut Mediterranean
BERLIN: Jerman mengumumkan pendiriannya tidak menyertai kempen menguatkuasakan sekatan senjata di Laut Mediterranean walaupun ia dilaksanakan Nato.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Jerman berkata, sekatan itu diputuskan Nato dan ia akan memberi kesan besar kepada Libya.
"Jerman tidak akan terbabit dalam pelaksanaan sekatan ini," katanya.
Jurucakap itu berkata, Kementerian Pertahanan menempatkan dua kapal peronda dan dua kapal laut di Laut Mediterranean.
Bagaimanapun, semua arahan hanya akan datang dari pemerintah tentera Jerman.
"Untuk waktu ini, kapal itu akan kekal di situ dan kami belum memutuskan haluan selanjutnya," katanya.
Kapal peronda itu - Lubeck dan Hamburg - adalah sebahagian daripada komponen Nato dalam kempen pertubuhan itu mengekang kegiatan pengganas. Kira-kira 550 anak kapal bertugas di dalam empat kapal berkenaan.
Semalam, Nato bersetuju melaksanakan sekatan senjata ke atas Libya menggunakan kuasa tentera udara dan laut negara anggota pertubuhan itu.
Setiausaha Agung Nato, Anders Fogh Rasmussen, berkata tentera pertubuhan itu akan memantau, melapor dan
jika perlu menghalang sebarang kapal yang disyaki membawa peralatan haram ke Libya.
"Semua negara anggota komited memenuhi tanggungjawab di bawah resolusi PBB bagi menghentikan keganasan ke atas orang awam di Libya," katanya.
Jerman - negara bukan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB - mengambil pendirian berkecuali dalam undian terhadap usul 'membenarkan sebarang cara' bagi menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya, minggu lalu. - AFP
+
Pemberontak sukar menang
AJDABIYAH: Di sebalik semangat juang dan keberanian pemberontak yang berkubu di padang pasir berhampiran bandar Ajdabiyah, mereka sebenarnya berdepan masalah kepemimpinan, pengalaman dan pelan tindakan jelas.
Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang daripada jurutera, pemandu teksi atau penganggur dan kebencian terhadap Muammar Gaddafi menjadikan mereka bersatu.
Tidak dapat dipastikan sama ada semangat yang ada pada mereka mampu menyumbang kepada kejayaan menawan Ajdabiyah yang kini masih dikuasai tentera Gaddafi.
Keadaan itu mencetuskan dilema kepada kerajaan asing yang membuktikannya dengan melancarkan serangan dari udara dan laut bagi melumpuhkan sebahagian kekuatan kerajaan.
Konflik di wilayah timur Libya sejak lima minggu itu menemui jalan buntu apabila tentera Gaddafi dilengkapi jet buatan Perancis menyerang kubu pemberontak di Benghazi sebelum berundur ke Ajdabiyah.
Pada pagi semalam, sekumpulan pejuang bergerak ke bukit pasir kira-kira lima kilometer dari bandar berkenaan dalam persiapan untuk menyerang balas.
Apabila ditanya siapa memberi arahan, seorang daripada mereka sekadar menggeleng kepala.
"Tak ada sesiapa. Kami cuma sukarelawan dan tak ada sebarang pelan," katanya.
Pada peringkat awal, tidak banyak bukti menunjukkan tentera kerajaan berpaling tadah menyokong kebangkitan rakyat.
Pada masa sama, pejuang pemberontak kelihatan sekadar pelakon filem Mad Max apabila berkawal dengan pakaian yang pelbagai.
Ketika sebahagian daripada mereka memakai seragam tentera, sesetengah yang lain mengenakan jaket kulit atau jersi bola sepak.
Di kepala, mereka bebas memakai sekadar kain tradisional, topi keledar atau apa saja.
Aspek persenjataan juga menunjukkan kepelbagaian, daripada mesingan yang dipasang di atas trak, raifal atau sekadar pisau dan batang besi.
Sesetengah pejuang berkata, mereka tertunggu-tunggu kemunculan pemimpin dari Benghazi, tetapi sebahagian lain lebih berharap kepada bantuan asing.
Jurucakap pemberontak, Essam Gheriani, berkata apa yang berlaku di Libya adalah kebangkitan rakyat secara spontan.
"Tiada sebarang persediaan.
"Rakyat bertanya, di mana tentera kita? Tentera kami adalah anak kami, doktor kami, penduduk di sini," katanya. - Reuters
+
8 cedera diserang roket ketika cuba lihat jet pejuang AS terhempas
BENGHAZI: Saksi berkata, sekurang-kurangnya lapan orang cedera ditembak ketika mereka cuba menghampiri kawasan pesawat AS terhempas di Libya, semalam.
Menurut berkata, semua mangsa adalah lelaki dan dirawat di Hospital Jala di Benghazi.
Katanya, mereka dibawa dari perkampungan Ghot Sultan, kira-kira 50 kilometer di timur Benghazi yang menjadi tempat jet F-15 tentera AS terhempas.
"Kami ke sana dan mendapat tahu juruterbangnya masih ada.
"Ketika kami semakin hampir ke lokasi itu, tiba-tiba kami diserang dengan roket," katanya.
Saksi itu, Mohammed Abdul Aaty, terselamat tetapi bapa dan saudara kandungnya, Hamdy, cedera.
Katanya, doktor terpaksa memotong kaki Hamdy selepas mengalami kecederaan parah.
Seorang lagi penduduk kampung, berkata mereka menaiki kereta dan berjalan kaki ke tempat jet itu terhempas.
"Ada satu kumpulan lebih awal mendakwa juruterbangnya masih ada. Kami terus ke situ tetapi tiba-tiba roket meletup tidak jauh dari kami," katanya. Bagaimanapun, tiada sesiapa dapat mengesahkan siapa melancarkan roket berkenaan.
"Hanya Tuhan tahu kerana kami tidak melihat sebarang pesawat di udara ketika itu," katanya. - AFP
Jumaat, Mac 25, 2011
|
0
komentar ::
Blog Gadgets

,

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .
The Blog 2x5

Anda sedang membaca artikel tentang Libya & Penjajah silahkan Anda COPAS di situs anda atau sebar luaskan artikel ini, jangan lupa untuk meletakkan link dibawah ini sebagai sumbernya...!!!
0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "