Selasa, 10 Februari 2009

Sukar baca fikiran wanita

Malu memaksa lelaki peruntuk lebih masa berbual dengan pasangan

WASHINGTON: Satu penyelidikan baru tampil menyokong pandangan lelaki sejak zaman dulu bahawa fikiran wanita sukar dibaca dan cara mereka kekal misteri sehingga kini.

Penyelidik di Universiti Indiana menunjukkan klip video daripada 24 dating (pasangan berpacaran) berbeza dan bertanya kepada peserta lelaki dan wanita dua soalan mudah: "Adakah anda fikir lelaki (dalam video) itu berminat dengan wanita ini?" dan "Adakah anda rasa wanita itu tertarik kepada lelaki ini?"

Jawapan mereka kemudian dibandingkan dengan reaksi golongan yang membuat dating itu sendiri, menurut majalah Live Science.

Hasilnya, yang disiarkan dalam isu Januari jurnal Psychological Science, menunjukkan lelaki dan wanita boleh mengukur minat seseorang lelaki kepada wanita tetapi tertanya-tanya apabila tiba untuk memastikan jika seseorang wanita berminat kepada lelaki.

Malah, lambungan syiling hampir setepat dalam meramalkan minat romantik wanita pada satu dating. Skyler Place, yang mengetuai kajian, berkata dorongan biologi di sebalik dating - mencari teman optimum bagi promosi gen - memberikan alasan kepada wanita untuk mengelak.

"Malu memaksa lelaki memperuntukkan lebih masa berbual dengan wanita, kerana mereka tidak pasti sama ada berjaya memikatnya. Lagipun, wanita memerlukan banyak masa mengumpul maklumat mengenai temannya," kata Place.

Kesudahannya, wanita lebih berisiko ketika membuat dating kerana berdepan 'kos karam' lebih tinggi kerana wanita cuma boleh hamil anak seorang saja pada satu masa, sedangkan lelaki boleh menghamilkan ramai wanita.

Klip video yang diambil pada pertengahan dan akhir dating menunjukkan penilaian lebih tepat, kata Place, menyatakan perasaan sebenar pasangan yang membuat dating semakin jelas ketika mengutip maklumat sepanjang pertemuan mereka.

Dating itu dilakukan di Jerman sebagai sebahagian Kajian Dating Segera Berlin Universiti Humboldt. Tiada seorang pun peserta dalam kajian di Indiana memahami bahasa Jerman, dan menggunakan cuma petunjuk visual dan nada suara untuk menentukan minat peserta temu janji itu. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan