Selasa, 3 Februari 2009

Rotary, Lions dituduh bantu Zionis

JAKARTA: Pertubuhan Islam Indonesia menggesa larangan terhadap dua pertubuhan antarabangsa, Kelab Rotary dan Kelab Lions kerana menyifatkan pertubuhan berkenaan sebahagian daripada konspirasi Zionis.

Forum Ulama Rakyat (FUU) berkata pergerakan Freemasonry dan Zionis berselindung di sebalik kelab berkenaan dan berikutan itu mengancam Islam di negara itu.

"Mereka memungut derma dan memberikannya kepada Amerika serta Zionis Israel," kata Pengerusi FUU, Atian Ali Mohammad Da'i yang dipetik The Jakarta Globe.

"Kami menggesa semua penduduk Islam menarik balik keahlian dalam Kelab Rotary dan Kelab Lions. Jika tidak, mereka disifatkan sebagai kafir," katanya.

Beliau menggesa Presiden Susilo Bambang Yodhoyono untuk mengharamkan kumpulan terbabit.

FUU adalah kumpulan ultra konservatif yang menggunakan paksaan untuk menghentikan perkhidmatan Kristian dan pada 2002 mengeluarkan fatwa mati terhadap seorang cendekiawan yang mengkritik konservatif Islam.


Raja Juli Antony dari Maarif Institute memberitahu Jakarta Post bahawa tiada bukti bahawa Kelab Lions atau Rotary mengancam Islam di negara itu.

Beliau berkata mereka memberikan sumbangan positif terhadap pembangunan Indonesia melalui kerja amal.

Seorang ahli Majlis Ulama Indonesia yang mengeluarkan fatwa terhadap pengharaman yoga minggu lalu berkata bahawa mereka tidak bercadang mengenakan larangan terhadap Kelab Rotary atau Lions. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan