Rabu, 18 Februari 2009

Penemuan penyelidikan terkini

  • Jepun
Satu kajian yang telah berjalan selama 11 tahun di Jepun melaporkan tekanan (stres) kerjaya meningkatkan risiko strok dengan ketara.

Berdasarkan pemantauan 3,190 sukarelawan lelaki dan 3,363 sukarelawan wanita dari pelabagai latar belakang kerjaya, penyelidik mendapati 147 sukarelawan diserang strok.

Dari jumlah tersebut, 91 merupakan lelaki dan selebihnya merupakan wanita. Kajian merumuskan lelaki yang mengalami tekanan tinggi di tempat kerja menghadapi risiko dua kali ganda lebih menghidap strok berbanding wanita.

Kajian itu turut mendapati wanita yang menghadapi tahap tekanan serupa tidak mencatatkan statistik strok setinggi lelaki.

Hasil penemuan ini mengundang persoalan sama ada wanita secara semulajadi mampu menangani tekanan atau stres dengan lebih baik berbanding lelaki, di rumah dan juga di tempat kerja.

Bagaimanapun, kajian statistik ini juga perlu mengambil kira faktor luaran seperti gaya hidup di luar pejabat, pemakanan dan penyakit yang dihadapi sukarelawan untuk mengukuhkan lagi hasil penyelidikan.


  • Sweden

Kajian di Sweden menunjukkan aktiviti sosial yang aktif dapat melindungi seseorang dari demensia (masalah mental).

Ini kerana aktiviti sosial didakwa dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi, seterusnya mengurangkan hingga separuh risiko demensia bagi lelaki mahupun wanita.

Aktiviti sosial yang dimaksudkan melibatkan meluangkan masa berbual atau bergembira bersama keluarga dan rakan. Ia tidak melibatkan aktiviti merempit, jenayah, mahupun pengambilan alkohol atau najis dadah.

Ciri demensia termasuklah hilang ingatan, perubahan personaliti dan kekeliruan (rasa keliru). Tekanan didapati boleh membawa kepada keresahan dan kemurungan, mungkin juga demensia.

Lebih 24 juta penduduk dunia menghadapi gejala demensia, termasuk bagi penyakit Alzheimer, dan jumlah ini dijangka akan meningkat empat kali ganda menjelang 2040.

Kajian awal sebelum ini mengaitkan tekanan berpanjangan boleh menjejaskan bahagian tertentu otak, seperti hippocampus, yang boleh membawa kepada demensia.

Penyelidik dari Indtitut Karolinska terbabit turut mendapati perwatakan yang ceria dan bersahaja (santai) lebih berkesan mengurangkan risiko demensia bila digabungkan dengan aktiviti sosial bersesuaian.

Penemuan ini menunjukkan kesan tekanan hidup dapat dikurangkan dengan meluangkan masa bersama keluarga dan rakan.

Dengan mengambil sedikit masa untuk merehatkan badan dan minda dari masa ke semasa mungkin dapat mengekalkan kewarasan dan kesihatan badan anda.

sumber

Tiada ulasan:

Catat Ulasan