Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dalam satu kenyataan hari ini berkata gerhana itu merupakan gerhana penumbra paling mudah dilihat dengan mata kasar (boleh dilihat di semua negeri) kerana 89.9 peratus daripada cakera bulan berada di bayang penumbra Bumi semasa fasa maksimum.
"Secara amnya gerhana bulan akan berlaku ketika fasa bulan penuh dan pada masa yang sama Bulan melintasi bayang Bumi.
"Gerhana ini akan bermula dengan fasa satu (penumbra) pada 8.39 malam waktu Malaysia. Gerhana maksimum pula akan berlaku pada 10.38 malam dengan bulan akan keluar sepenuhnya dari bayang penumbra Bumi (fasa empat) pada 12.38 pagi," katanya.
Sementara itu, Angkasa juga akan menganjurkan Program Pencerapan Gerhana Bulan Separa (Penumbra) di Planetarium Negara bermula 8.30 malam hingga 12 tengah malam.
Menurut Angkasa, penduduk di Alaska, Hawaii, Australia atau Asia Timur akan berpeluang menyaksikan keseluruhan gerhana ini berlaku manakala penduduk di Kanada Barat serta Amerika Utara pula menyaksikan gerhana ini sebelum Bulan terbenam.
Orang ramai dijemput hadir menyaksikan fenomena ini menerusi beberapa buah teleskop yang disediakan dan bagi yang tidak berkesempatan ke Planetarium Negara, siaran langsung boleh disaksikan di laman web www.angkasa.gov.my bermula 8.30 malam hingga 12 tengah malam. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan