Selasa, 17 Februari 2009

Bergelap Satu Jam Untuk Menangani Pemanasan Global

KUALA LUMPUR, 16 Feb - Dalam usaha simbolik untuk menangani pemanasan global, Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) menggesa rakyat Malaysia untuk memadamkan lampu yang tidak diperlukan selama sejam bermula 8.30 malam pada 28 Mac.

Tindakan itu selaras dengan langkah pergerakan antarabangsa 'Earth Hour', katanya Pengarah Eksekutif WWF Malaysia Datuk Dr Dionysius S. K. Sharma.

Katanya beberapa bangunan mercu tanda di negara ini seperti Menara Kuala Lumpur, Angkasapuri, Sunway Pyramid dan Mid Valley Megamall akan bersama-sama dengan bangunan mercu tanda di 74 negara lain dalam menjayakan pergerakan 'Earth Hour' itu.


"Tindakan memadamkan lampu yang tidak diperlukan merupakan langkah mudah yang boleh dilakukan setiap orang, yang dapat memberikan impak positif besar terhadap perubahan iklim," katanya pada pelancaran "Earth Hour' peringkat Malaysia di sini, Isnin.

"Objektif kami ialah mempamerkan kesepakatan dan menyediakan mandat global yang akan memberikan impak pada mesyuarat pemimpin dunia pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Copenhagen tahun ini," katanya.

Duta Earth Hour Malaysia Yasmin Ahmad berkata pihaknya berharap untuk menghubungi lebih banyak syarikat korporat dan agensi kerjaan termasuk Kompleks Kerajaan Putrajaya dan bangunan Sultan Abdul Samad untuk turut serta dalam pergerakan itu.

Pergerakan 'Earth Hour' telah mencatatkan kejayaan pada 2007 di Sydney, Australia di mana 2.2 juta rumah dan premis perniagaan memadamkan lampu mereka selama sejam.

Untuk maklumat lanjut dan mengikrarkan sokongan bagi Earth Hour 2009, sila layari laman web www.earthhour.org/malaysia. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan