GENEVA: Lelaki mempunyai bau keju manakala wanita berbau buah limau gedang atau bawang, menurut satu penyelidikan baru selepas ujian diadakan pada ketiak kedua-dua jantina itu.Saintis syarikat Firmenich beribu pejabat di Geneva yang menyelidik mengenai rasa dan bau bagi makanan dan industri haruman, mengambil contoh peluh ketiak daripada 24 lelaki dan 25 wanita selepas mereka menghabiskan masa di sauna atau 15 minit mengayuh basikal senaman.
Apabila contoh dianalisis, pasukan berkenaan mendapati peluh wanita mengandungi bahan sulfur tidak berbau dengan jumlah tinggi, menurut majalah New Scientist.
Apabila ia dicampurkan dengan bakteria yang selalunya ditemui pada ketiak, ia berubah menjadi kimia dipanggil thiol, amat dikenali kerana mempunyai bau seperti bawang.
Bagaimanapun, lelaki berpeluh dalam cara berbeza. Saintis menemui paras tinggi asid lemak tidak berbau yang membebaskan bau keju apabila didedahkan kepada enzim yang dihasilkan bakteria pada ketiak.
Christian Starkenmann yang mengetuai kajian berkata: "Lelaki berbau keju manakala wanita pula mempunyai bau seperti limau gedang atau bawang."
Sepasukan penguji bebas yang direkrut oleh saintis juga mendapati bau ketiak wanita lebih tidak menyenangkan. Hasil kajian boleh digunakan untuk mencipta pewangi ketiak yang dikhaskan untuk lelaki atau wanita.
Namun, tidak semua saintis yakin uji kaji boleh diulangi semula di luar Switzerland kerana perbezaan tabiat pemakanan dan gen.
Profesor Tim Jacob yang mengkaji sains bau di Universiti Cardiff berkata: "Faktor lain termasuk apa yang dimakan, apa yang diguna apabila membasuh, apa yang dipakai dan jenis gen yang diwarisi."
Bulan lalu, dilaporkan wanita boleh memberitahu apabila seseorang lelaki tertarik secara seksual kepadanya melalui bau peluh mereka. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan