Isnin, 23 Februari 2009

Aktiviti luar rumah mengelakkan myopia

KANAK-KANAK yang menghabiskan lebih banyak masa di luar rumah - ertinya tidak hanya menonton televisyen dan menggunakan komputer - kurang berisiko mengalami myopia iaitu masalah rabun jauh.

Laporan baru yang disiapkan oleh para pengkaji dari Boston, Amerika Syarikat, itu tidak menegaskan bahawa banyak melakukan aktiviti di dalam rumah menjejas penglihatan kanak-kanak.

Bagaimanapun, ia merumuskan menggalak kanak- kanak dan remaja melakukan lebih banyak aktiviti di luar - tetapi tidak semestinya aktiviti sukan - membantu mengurangkan risiko terkena myopia.


Di Amerika, sepertiga penduduknya mengalami myopia dan kadarnya lebih tinggi di Asia, termasuk Singapura.

Penulis kajian itu, Dr Jan Gwiazda, pengarah kajian di Kolej Optometri New England di Amerika, berkata myopia disebabkan kedua-dua faktor - baka dan sekitaran.

'Masalah ini lebih mudah menjejas mereka yang banyak bekerja menggunakan pandangan mata yang dekat pada objek,' katanya.

Dr Gwiazda juga menolak andaian bahawa kanak- kanak yang menjadi ulat buku atau banyak membaca cenderung mengalami myopia.

'Kajian kami menunjukkan kanak-kanak yang banyak menghabiskan masa dalam aktiviti di luar rumah tidak semestinya kurang membaca di rumah atau kurang menggunakan komputer. Jadi, yang membantu mereka terhindar daripada masalah myopia ialah banyak beraktiviti di luar rumah,' terangnya, sebagaimana dilaporkan HealthDay News.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan