Rabu, 14 Januari 2009

Winnie-the-Pooh selepas 83 tahun


POPULARITI Winnie-the-Pooh selepas diadaptasi kepada versi televisyen oleh saluran Disney menjadikan watak beruang jinak itu antara karakter kartun kegemaran ramai.

LONDON - Setelah lebih lapan dekad, sekuel rasmi pertama buku versi asal Winnie-the-Pooh akan diterbitkan semula menjelang Oktober depan, menurut penerbitnya semalam.

Watak beruang pencuri madu itu bakal dihasilkan oleh Egmont Publishing untuk edaran di Britan dan penerbit buku kanak-kanak Dutton-Penguin bagi pasaran Amerika Syarikat.

Penulisnya, David Benedictus, yang juga menerbitkan adaptasi animasi Winnie-the-Pooh dibintangi aktres Judi Dench bertanggungjawab menghasilkan buku sekuel asal tersebut.

Diberi judul Return to the Hundred Acre Wood, ia merupakan susulan sekuel sebelum itu, Winnie-the-Pooh and The House At Pooh Corner tulisan A.A. Milne dengan ilustrasi E.H. Shepard.


ILUSTRASI asal oleh E.H Shepard yang dilukis pada 1925.


Bagaimanapun, versi kali ini yang akan dijual 5 Oktober nanti mendapat sentuhan ilustrasi Mark Burgess yang banyak melukis karakter kanak-kanak klasik termasuk Paddington Bear.

"Kami memang berharap sejak beberapa tahun lalu agar dunia akan menyaksikan semula cerita asal Winnie-the-Pooh," kata jurucakap Yayasan Pooh Properties, Michael Brown.

"Buku asalnya adalah salah sebuah cerita kanak-kanak paling ulung diterbitkan dalam pelbagai bahasa dan kami percaya penciptanya memiliki semangat tersebut," katanya.

Mulanya dicipta oleh David Benedictus dan Mark Burgess, cerita klasik Winnie-the-Pooh dianggap sebagai antara ilustrasi kartun kanak-kanak yang masih popular sehingga ke hari ini.

Salah satu watak beruang itu yang dilukis oleh artis asalnya, E.H. Shepard berjaya dijual pada harga mencecah £1.3 juta (lebih RM7 juta) dalam satu lelongan di sini pada bulan lalu. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan