Rabu, 7 Januari 2009

Iguana spesies baru ditemui di Galapagos


IGUANA merah jambu yang dipercayai spesies baru yang ditemui di Pulau Galapagos.

QUITO: Sepasukan penyelidik Ecuador dan Itali menemui satu spesies unik iaitu iguana merah jambu hidup di Pulau Galapagos.

"Ia mengejutkan dengan penemuan itu dalam abad ke 21 ini," kata Washington Tapia, ketua penyelidik di Taman Negara Galapagos.

Penyelidik pada mulanya menyangka iguana terbabit yang berwarna merah jambu dengan bintik hitam mempunyai masalah kulit, kata Tapia.

Iguana merah jambu pertama pernah ditemui pada 1986 dan beberapa tahun selepas itu saintis merumuskan bahawa ia adalah satu spesies unik.


"Kami belum lagi mengenal pasti saiz populasinya tetapi kami menganggarkan bahawa ia adalah kecil kerana kami hanya menangkap 36 iguana merah jambu untuk kajian sehingga kini," kata Tapia dalam satu temubual telefon.

Spesies merah jambu itu boleh bersaiz hingga 1.8 meter panjang jika diukur daripada hujung kepala hingga ekor dan tidak seperti iguana lain yang mempunyai duri di atas belakangnya.

"Ia benar-benar satu spesies unik. Tetapi kajian lebih diperlukan untuk lebih mengetahui karektor uniknya," kata Tapia. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan