
Syarikat tingkat pemilikan saham dalam pengeluar kereta Eropah terbesar
PENGELUAR kereta sport mewah Jerman, Porsche mengambil alih Volkswagen (VW), iaitu pengeluar kereta Eropah terbesar selepas membeli lebih 50 peratus sahamnya.
Porsche dalam satu kenyataan ringkasnya berkata, dengan membeli saham baru VW, ia akan meningkatkan pemilikannya dalam syarikat berkenaan kepada 50.76 peratus daripada 42 peratus sebelum ini.
Berikutan itu, Porsche kini bertanggungjawab di bawah undang-undang Sweden untuk membuat tawaran bagi baki saham dalam pengeluar trak berat, Scania yang mana VW adalah pemegang saham terbesarnya.
Bagaimanapun, Porsche akan menawarkan harga minimum bagi saham Scania dan tidak mempunyai sebarangan kepentingan strategik dalam syarikat berkenaan, menurut kenyataan itu.
Porsche mulanya merancang untuk membeli lebih daripada 50 peratus saham VW tahun lalu tetapi terpaksa menangguhkannya selepas nilai saham syarikat itu melonjak berikutan kegiatan spekulasi.
Pada satu ketika, saham VW didagangkan pada harga lebih 1,000 euro (AS$1,350) sesaham, menjadikannya sebagai syarikat terbesar di dunia dari segi nilai pasaran.
Saham VW ditutup pada 254.74 euro Isnin lalu, menghampiri sasaran Porsche iaitu antara 200 hingga 250 euro.
Ogos lalu, VW dilaporkan mengambil alih status Ford sebagai pengeluar kereta ketiga terbesar di dunia selepas General Motors dan Toyota.
Pengambilalihan oleh Porsche itu menyaksikan sebuah syarikat yang dikuasai keluarga yang mengeluarkan 100,000 unit kereta sport mewah setahun, menguasai sebuah syarikat kebangsaan yang mengeluarkan lima juta kenderaan setahun.
Porsche, yang mengeluarkan kereta sport 911 dan kenderaan utiliti sport Cayenne merancang meningkatkan kepentingannya dalam VW kepada kira-kira 75 peratus tahun ini, yang mana ia menjangka meraih kuasa kawalan ke atas firma berkenaan.
Memiliki kira-kira 75 peratus kepentingan akan membolehkannya memuktamadkan apa yang dipanggil kontrak dominasi, memberikannya kawalan kewangan penuh.
Di Jerman, pelabur minoriti yang memegang 25 peratus saham syarikat boleh menghalang sebarang keputusan strategik, tetapi dalam kes VW ia ditetapkan undang-undang pada kadar 20 peratus, yang mana ia dimiliki negeri Lower Saxony, di mana VW berpangkalan. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan