Jumaat, 19 Disember 2008

Kerap cuci tangan kurangkan prasangka

Penyelidik dakwa amalan itu beri impak kepada penilaian moral individu

LONDON: Sekumpulan penyelidik Britain mendakwa amalan mencuci tangan serta mandi tidak hanya bagi tujuan penjagaan kesihatan, sebaliknya turut mencerminkan penilaian moral seseorang individu itu.

Dalam satu kajian terbaru, penyelidik Universiti Plymouth itu mendakwa mereka yang kerap mencuci tangan sebagai kurang menaruh prasangka.

Malah golongan ini mempunyai perasaan lebih lembut dan sederhana sebelum membuat sebarang penilaian atau keputusan terhadap orang lain.
Mereka juga mendakwa pengundi yang mandi sebelum mengundi, lazimnya berkemungkinan besar tidak menitikberatkan masalah perilaku calon.

"Kalau boleh kita mahu memikirkan yang sebarang keputusan itu adalah sesuatu yang dirancang dan diharapkan. Tetapi terbukti, ia boleh dipengaruhi perkara yang berlaku secara tiba-tiba. Sudah pasti, ia memberi impak, terutama ketika proses pengundian atau juri yang sedang menimbang untuk membuat keputusan penting," kata ketua penyelidik, Dr Simone Schnall.

Beliau membuat penilaian itu berdasarkan analisis ke atas sekumpulan responden yang mencuci tangan.

Seramai 22 responden mencuci tangan manakala sejumlah sama tidak berbuat demikian. Mereka kemudian diminta menonton babak filem Trainspotting mengenai penagih dadah.

Responden diminta membuat penilaian termasuk mengenai kesalahan yang dinilai mengikut angka satu hingga sembilan dan perlakuan mana yang wajar dan salah.

Kesalahan yang dipaparkan termasuk mencuri wang, mengambil sikap menunggu tawaran kerja, memasak, memakan haiwan peliharaan, membunuh mangsa terselamat dalam nahas bagi mengelak kelaparan serta mendera anak kucing. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan