Selasa, 2 Disember 2008

Jalan Awam Di Singapura Ditukar Sebagai Landasan Sementara Pesawat Tentera


SINGAPURA, 1 Dis - Pesawat tentera Singapura termasuk jet pejuang negara itu boleh dikatakan mampu melakukan penerbangan dari sebarang lokasi di republik kecil itu jika latihan udara Ahad (31 Nov. 2008) lepas dijadikan ukuran.

Jalan raya dengan beberapa lorong di Jalan Lim Chu Kang di sebelah barat republik itu dijadikan landasan segera selama 30 minit bagi 12 pesawat tentera semasa latihan udara itu.

Pesawat Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) termasuk jet pejuang F-5 dan F-16 dan pesawat perisikan amaran awal dan pemerintahan (AWAC) melakukan siri berlepas dan mendarat di atas jalan berkenaan.

Sebelum itu, kira-kira 400 anggota dari Pusat Kawalan Pertahanan dan Operasi Udara (APGC) RSAF mengambil masa 48 jam untuk mengubah jalan raya berkenaan menjadi landasan pesawat sementara.

Kementerian Pertahanan Singapura berkata latihan itu menonjolkan tahap siap siaga operasi tentera udara.

Ketika ini, RSAF mempunyai empat pangkalan udara di republik tersebut iaitu Pangkalan Udara Tengah, Payar Lebar, Changi dan Sembawang.


Idea strategik untuk mengubah jalan raya awam sebagai landasan penerbangan alternatif diilhamkan oleh bekas Menteri Pertahanan Goh Keng Swee dan bekas perdana menteri Lee Kuan Yew pada pertengahan tahun 1970an. - bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan