Jumaat, 21 November 2008

Petrol gred baru diperkenalkan (RON95 ganti RON92 tahun depan)


BANTING: Kerajaan memperkenalkan petrol gred baru, RON95 untuk menggantikan RON92, tahun depan kerana harganya lebih murah daripada RON97 yang digunakan secara meluas sekarang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Samad, berkata semua stesen minyak akan diminta menjual RON95 untuk menggantikan RON92, kerana harganya murah 10 sen berbanding RON97, tetapi prestasi hampir sama.

Ketika ini, dua gred petrol iaitu RON92 dan RON97 dijual di pam minyak tetapi lebih banyak menjual RON97 berbanding RON92 yang didakwa lebih sesuai untuk motosikal.

Beliau berkata, RON95 adalah petrol tanpa plumbum yang sesuai digunakan oleh kebanyakan kereta, manakala RON97 lebih menjurus kepada prestasi dan harganya lebih mahal.

"Pengguna akan mempunyai dua pilihan, iaitu RON95 yang sesuai untuk semua kenderaan termasuk motosikal atau RON97 yang lebih mahal tetapi dikatakan lebih berprestasi," katanya selepas merasmikan Kempen Penurunan Harga di 99 Speedmart di Kampung Sungai Lang di sini, semalam.

Harga petrol RON92 kini adalah RM1.90 seliter manakala RON97 dijual RM2 seliter.


"RON95 sudah cukup bagus untuk kenderaan kita terutama kereta, malah kualiti sebenarnya tidak jauh beza dengan RON97.

"Sudah tiba masanya pengguna sedar dan tidak membiarkan diri dibuli atau dipengaruhi iklan syarikat minyak yang menawarkan pelbagai petrol yang kononnya berkualiti dengan harga lebih mahal.

"Ini masalah yang berlaku di negara ini apabila pengguna terlalu terpengaruh dengan jenama dan mudah percaya dengan iklan sedangkan kualiti minyak adalah sama," katanya.

Shahril berkata, stesen minyak tidak banyak menjual RON92 kerana harganya yang lebih murah selain permintaan kurang daripada pengguna yang terlalu percaya RON97 lebih berkualiti dan semua kenderaan hanya boleh menggunakan minyak jenis itu.

Beliau berkata, kerajaan akan mencari jalan untuk meminta stesen minyak menyediakan RON95 dan RON97 di setiap pam sebagai pilihan kerana harganya berbeza 10 sen.

Shahrir berkata, kementeriannya akan melancarkan kempen kesedaran RON95 dan RON97 yang mempunyai kualiti sama tetapi dijual berbeza harga, awal tahun depan.


Mengenai dakwaan harga susu tepung di pasaran masih belum turun, beliau berkata setakat ini hanya susu berjenama Nugrow yang turun 15 peratus, sementara pengeluar susu lain belum menurunkan harga susu mereka. - BH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan