
WASHINGTON: Penyelidik Amerika Syarikat mendakwa mereka mampu memadamkan ingatan buruk berdasarkan ujian ke atas tikus makmal, yang meningkatkan harapan sindrom tekanan selepas trauma boleh disembuhkan satu hari nanti.
"Usaha memadam memori tidak lagi terhad kepada lapangan sains fiksyen," kata kumpulan penyelidik diketuai Joe Tsien daripada Institut Otak dan Penemuan Tingkah Laku di Kolej Perubatan Georgia, dalam majalah Cell Press.
Teknik baru itu yang ditekankan saintis masih di peringkat amat awal, mungkin boleh dilaksanakan satu hari nanti pada otak manusia untuk memadamkan memori trauma atau ketakutan serta tidak menjejaskan ingatan yang lain.
Ingatan manusia secara umum dipisahkan kepada empat tahap berbeza: pemerolehan, pengukuhan, pengumpulan dan penemuan.
Terdahulu, penyelidikan mengenal pasti molekul khas yang memainkan peranan dalam pelbagai fasa proses memori.
Bagaimanapun, Tsien berkata pasukannya menemui cara memanipulasi dengan pantas aktiviti 'molekul memori', iaitu protein CaMKII - kalsium/protein kinase II bergantung kepada 'calmodulin' yang memainkan peranan penting dalam
sel komunikasi otak, dan dikaitkan dengan banyak aspek memori.
Penyelidik membangunkan 'strategi genetik kimia' yang menjadikan tidak mustahil untuk memanipulasikan protein pada tikus.
"Menggunakan teknik ini, kami meneliti manipulasi aktiviti CaMKII pada tikus mengenai penemuan memori menakutkan jangka pendek dan jangka panjang," katanya. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan