Ahad, 28 September 2008

Satu Bahasa Pupus Pada Setiap Dua Minggu, Menurut UNESCO


KOTA KINABALU, 26 Sept - Satu bahasa pupus dengan cepat iaitu secara puratanya pada setiap dua minggu, kata seorang wakil Pusat Kebudayaan Asia Pasifik Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Masanori Kono, semasa berucap pada majlis pelancaran 11 buku cerita kanak-kanak menerusi Projek Celik Huruf Keluarga Moyog di sini hari ini, berkata UNESCO khuatir hampir 50 peratus daripada 6,700 bahasa yang masih dipertuturkan di dunia berada dalam satu keadaan bahaya dan lama-kelamaan pupus.

"Situasi ini memberi ancaman akan kehilangan kebijaksanaan tempatan yang terdapat dalam setiap bahasa yang unik.

"Itulah sebabnya mengapa UNESCO sering memberi keutamaan mengenai kepentingan dan mempromosikan celik huruf serta kepelbagaian budaya antara rantau," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok, yang melancarkan 11 buku berkenaan, berkata perhatian serius mesti diberikan untuk memulihara bahasa rakyat peribumi.

"Satu bahasa menghimpunkan ramai orang. Ia juga mengekalkan kemakmuran rakyatnya, terutamanya dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia," katanya.

Buku berkenaan, satu usaha Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF), ditulis di dalam bahasa Kadazandusun yang bukan sahaja memelihara warisan budaya dan alam sekitar menerusi penceritaan dan gambar.

KLF berharap buku berkenaan akan dijadikan sebagai satu kaedah pembelajaran di sekolah. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan