Kota suci lengkap pelbagai kemudahan, teknologi terkiniJEDDAH: Bandar suci Makkah bakal menjadi bandar pintar serta contoh bandar raya Muslim yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan teknologi terkini bagi faedah jutaan jemaah umrah serta haji, selain penduduk tempatan.
Sehubungan itu, lapor Arab News semalam, satu persidangan antarabangsa dua hari mengenai bandar pintar akan diadakan di Makkah pada Januari depan bagi membincangkan usaha berkenaan.
Persidangan yang bakal diadakan di Dewan Umm Al-Qura, Universiti Raja Abdul Aziz pada 19 Januari depan, turut menghimpunkan pakar bagi mengenal pasti cara merealisasikan konsep bandar pintar berkenaan.
"Acara anjuran Majlis Perbandaran Makkah dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Teknologi Penerangan serta Pusat Penyelidikan Haji.
"Ia adalah persidangan terbesar mengenai bandar pintar yang pernah diadakan di sini," kata Datuk Bandar Makkah, Osama Al-Bar.
Katanya, selain aspek prasarana bersesuaian, persidangan itu juga bertujuan meningkatkan perkhidmatan oleh pelbagai jabatan kerajaan yang menjaga kepentingan penduduk setempat serta jemaah.
"Ia bakal menjadikan Makkah sebagai bandar contoh negara Islam di seluruh dunia."
Pengerusi Jawatankuasa Saintifik persidangan itu, Mohammed Maqazi berkata transformasi bandar Makkah itu memang amat diperlukan demi memenuhi permintaan jemaah dari seluruh pelusuk dunia yang berpusu-pusu ke bandar suci berkenaan.
"Jemaah memerlukan penginapan, makanan, saluran maklumat dan komunikasi serta cara pengangkutan yang berkesan. Kombinasi teknologi terkini seperti rangkaian komunikasi jalur lebar sudah pasti dapat memberi manfaat kepada pengunjungnya." - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan