Kenderaan digelar 'tong sampah bergerak' kerana penuh kuman
LONDON: Satu kajian terbaru mendakwa kereta bukan sekadar satu cara pengangkutan, tetapi turut menjadi 'tong sampah' bergerak dengan purata kira-kira 283 hingga 850 jenis bakteria berbeza bagi setiap satu sentimeter persegi kawasan di dalam kenderaan berkenaan.
Pakar mikrobiologi Universiti Aston, Britain yang menjalankan ujian rambang turut mendapati, kawasan paling kotor dalam kereta adalah tombol gear (gear stick) yang didiami 356 kuman bagi setiap satu sentimeter persegi.
Tinjauan ke atas 25 kereta itu menyenaraikan kawasan bonet sebagai paling kotor iaitu 850 bakteria bagi setiap sentimeter persegi.
Malah, pemandu yang mempunyai anak serta binatang peliharaan, didapati memiliki lebih banyak bakteria dalam kereta mereka. Ini termasuk penemuan sisa najis pada bonet kereta yang pada masa sama lazimnya memuatkan barangan makanan bagi seisi keluarga.
"Biarpun sebahagian besar bakteria yang ditemui itu tidak menyebabkan masalah kesihatan yang amat serius, tetapi masih ada kereta yang sering membawa kanak-kanak dan haiwan peliharaan, terbukti membawa kuman yang membahayakan," tegas Pengarah Pusat Sains dan Biologi Universiti Aston, Anthony Hilton.
"Apa yang pasti, orang ramai pasti terkejut dengan hasil penemuan itu. Ramai yang merasa loya memikirkan kemungkinan memakan di dalam tandas, tetapi sebaliknya tidak ramai yang menyedari kekotoran sama turut wujud di dalam kereta masing-masing."
Kajian yang dianjurkan firma insurans, insurance.co.uk, turut mendapati kalangan pemandu Britain menghabiskan masa lebih tiga tahun daripada tempoh kehidupan mereka dengan memandu.
Malah lebih satu perempat atau 25 peratus pemandu berkenaan makan di dalam kereta setiap minggu. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan