Isnin, 22 September 2008

Alat pemecah atom terbesar rosak

GENEVA 21 Sept. - Alat pemecah atom terbesar di dunia yang baru dilancarkan awal bulan ini mengalami kerosakan sebanyak dua kali dan dijangka tidak dapat digunakan sekurang-kurangnya untuk tempoh dua bulan.

Jurucakap ibu pejabat Pusat Penyelidikan Nuklear bagi Eropah (CERN), James Gillies berkata, sejumlah besar helium telah terlepas ke dalam terowong sepanjang 27 kilometer yang dibina di sebuah kawasan di sempadan Perancis-Switzerland yang menempatkan alat tersebut yang dikenali sebagai Large Hadron Collider (LHC).

Alat pemecah gergasi itu yang mula beroperasi pada 10 September lalu, menggembirakan para saintis di seluruh dunia, kerana ia dapat memecah proton dalam pusaran tersebut pada kelajuan hampir menyamai kelajuan cahaya, malangnya alat itu terpaksa ditutup 36 jam selepas ia gagal berfungsi apabila salah satu angkubahnya rosak.

Menurut kenyataan CERN, kerosakan itu telah dibaiki, tetapi kerosakan kedua berlaku pada tengah hari Jumaat lalu di bahagian terakhir terowong tersebut, ketika ujian pada kelajuan tinggi dijalankan di situ, yang menyebabkan berlaku kebocoran besar helium.

Gillies berkata, kerosakan kedua itu berlaku beberapa kilometer dari bahagian kerosakan pertama dan ia dijangka mengambil masa yang lebih panjang untuk membaikinya berbanding kebocoran pertama.

"Siasatan awal mendapati punca kebocoran yang berlaku pada Jumaat lalu itu kemungkinan besar disebabkan kerosakan pada salah satu wayar elektrik yang disambung antara dua magnet, yang mungkin telah cair akibat arus yang laju itu, menyebabkan berlaku kerosakan mekanikal," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Menurut kenyataan itu, sektor tersebut akan dipanaskan semula sebelum dibaiki yang akan mengambil masa paling minimum dua bulan untuk membaiki alat pemecah itu.

Katanya, kesilapan-kesilapan seumpama itu merupakan perkara biasa dalam reka cipta alat pemecah untuk kegunaan di bawah suhu bangunan dan ia pasti mengambil masa beberapa hari untuk membaikinya.

Jelasnya, faktor yang menyebabkan kelewatan pada LHC ialah masa yang diperlukan untuk memanaskan bahagian tersebut sebelum menyejukkan bahagian itu kembali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan