Jumaat, 29 Ogos 2008

Tukar servis (Syarikat Perkhidmatan), nombor telefon anda sekarang kekal dengan anda

Caj setinggi RM25 bagi setiap pertukaran

PUTRAJAYA: Mulai hari ini (29 Ogos 2008) pengguna perkhidmatan telefon selular pra-bayar individu di Lembah Klang boleh mengekalkan nombor masing-masing walaupun menukar penyedia perkhidmatan berikutan pelaksanaan perkhidmatan 'Kemudahalihan Nombor Selular' (MNP) secara berperingkat.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata pengguna perkhidmatan telefon selular pasca-bayar individu di Lembah Klang pula boleh berbuat demikian dalam tempoh dua minggu lagi manakala pengguna lain di seluruh negara dan pemegang akaun perniagaan, mulai Oktober depan.

Beliau berkata, penyedia perkhidmatan telefon selular dibenarkan mengenakan caj sehingga RM25 kepada pelanggan untuk setiap kali pertukaran.

"Mereka yang berminat menggunakan perkhidmatan MNP dinasihatkan menghubungi syarikat telekomunikasi yang menjadi penyedia perkhidmatan seperti Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile.

"Setiap syarikat ini akan menyediakan lima pusat servis di seluruh Lembah Klang bagi melayani permohonan perkhidmatan MNP," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini semalam.

Shaziman berkata, sehingga perkhidmatan MNP itu dilancarkan di seluruh negara Oktober depan hanya 100 permohonan dapat diproses setiap hari.

Katanya, permohonan melebihi had itu akan tetap diterima tetapi dimasukkan dalam senarai untuk hari berikutnya.

"Pengguna perkhidmatan telefon selular prabayar dinasihatkan supaya menghabiskan jumlah baki prabayar sebelum menukar penyedia perkhidmatan kerana baki itu tidak akan dikembalikan.

"Pengguna juga dinasihatkan tidak tergesa-gesa menukar penyedia perkhidmatan sebaliknya mengkaji pelbagai pakej yang ditawarkan," katanya.

Shaziman berkata, pengguna telefon bimbit boleh merujuk di bahagian Soalan Yang Kerap Ditanya (FAQ) mengenai MNP dalam laman web Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), www.skmm.gov.my, dan semua penyedia perkhidmatan untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan itu. - bh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan