Jumaat, 29 Ogos 2008

Kerusi panas jejas kesuburan

Bahang akibat kesesakan lalu lintas ancam sperma sihat

LONDON: Keadaan kerusi kereta yang panas mungkin memberikan keselesaan kepada pemandu dalam kedinginan pagi tetapi saintis memberi amaran ia juga menjadi faktor penyebab kiraan sperma rendah di kalangan lelaki.

Kajian mendapati kepanasan dicetuskan elektrik yang dibebaskan oleh sebahagian kerusi pemandu meningkatkan suhu badan sehingga ke tahap mengganggu pengeluaran sperma sihat.


Akhbar Daily Mail melaporkan, ia berikutan bukti kajian terdahulu bahawa lelaki yang duduk di dalam kereta lebih tiga jam sehari, atau bekerja sebagai pemandu lori jarak jauh atau juruterbang penerbangan jauh, meletakkan kesuburan mereka dalam risiko.

Suhu sesuai pengeluaran sperma ialah sekitar 35 darjah Celsius hingga 36 darjah Celsius, di bawah purata suhu badan 37 darjah Celsius.

Jika suhu tinggi disebabkan, sebagai contoh, lelaki memakai seluar panjang atau seluar dalam ketat, mandi air panas lama atau terlalu lama duduk bilangan sperma boleh turun mendadak.


Bagi menguji kesan kepanasan kerusi kereta, penyelidik Universiti Giessen di Germany, menetapkan penunjuk suhu kepada 30 sukarelawan sihat yang kemudian duduk di atas kerusi kereta dipanaskan selama 90 minit.

Dalam masa sejam, suhu meningkat kepada purata 37.3 darjah Celsius. Seorang lelaki merekodkan suhu 39.7 darjah Celsius, lapor majalah New Scientist. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan