GAMBAR yang dikeluarkan jurnal The Lancet menunjukkan wajah seorang pesakit dari Perancis yang ditumbuhi tumor (kiri) dan wajahnya selepas menerima tisu penderma. Sehingga kini tiga pembedahan pemindahan separuh muka berjaya dilakukan dan pakar yang menjalankan prosedur itu berkata, teknik yang mereka gunakan adalah berkesan.
Bagaimanapun, kajian tersebut yang disiarkan semalam dalam jurnal perubatan Britain, The Lancet menjelaskan bahawa masih banyak kajian yang perlu dilakukan kerana terdapat beberapa komplikasi daripada pembedahan itu.
"Pembedahan pemindahan muka boleh menjadi sesuatu yang biasa seperti pemindahan buah pinggang atau hati satu hari nanti," kata seorang pakar pembedahan plastik, Laurent Lantieri dari Hospital Henri Mondor-Albert Chenevier di Perancis.
Lantieri merupakan salah seorang doktor pakar yang terlibat dalam pembedahan ke atas seorang lelaki yang mengalami satu penyakit genetik sehingga mengakibatkan wajahnya menjadi hodoh.
Dalam jurnal perubatan itu, Lantieri dan pasukannya melaporkan perkembangan kesihatan pesakit mereka setahun selepas menjalani pembedahan pemindahan muka.
KOMBINASI gambar wajah seorang warga China yang cedera kembali pulih setelah menjalani beberapa prosedur pemindahan muka tisu penderma.Pasukan doktor daripada China juga melaporkan keadaan seorang pesakit mereka yang menjalani pembedahan pemindahan muka dua tahun yang lalu.
Pada tahun lalu, Lantieri dan pasukan perubatannya membuat pembedahan pemindahan wajah terhadap seorang lelaki berumur 29 tahun yang mengalami ketumbuhan sehingga menyebabkan mukanya kelihatan seperti raksasa.
Selepas menjalani pembedahan, lelaki itu mempunyai pipi, hidung dan mulut yang baru yang diberikan oleh seorang penderma.
Enam bulan selepas menjalani pembedahan rumit itu, lelaki tersebut kini boleh tersenyum dan mengelipkan matanya.
Satu pasukan perubatan di China pula membuat pembedahan pemindahan muka terhadap seorang lelaki yang kehilangan sebahagian mukanya selepas diserang oleh seekor beruang.
Melalui pembedahan itu, pesakit tersebut kini mempunyai hidung, bibir dan pipi yang baru daripada seorang penderma.
Selepas beberapa bulan, pesakit yang berasal dari wilayah Yunnan itu boleh makan, minum dan bercakap secara normal.
Bagaimanapun, dalam kedua-dua kes, kedua-dua wajah pesakit menolak tisu baru lebih daripada sekali.
Namun, masalah itu dapat diatasi dengan meneruskan pengambilan ubat-ubatan oleh pesakit berkenaan.
Pesakit daripada Perancis kini terpaksa mengambil tiga pil sehari untuk mengelak penolakan tisu daripada berlaku.
Bagaimanapun, sebilangan pakar berpendapat halangan utama dalam pembedahan pemindahan muka bukanlah dari faktor saintifik tetapi daripada penerimaan sosial.
"Apabila pembedahan pemindahan buah pinggang baru diperkenalkan, ramai orang keberatan untuk menjadi penderma kerana isu budaya, sosial dan agama," kata seorang pakar pembedahan plastik, Bohdan Pomahac dari Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, ramai pakar merancang untuk melakukan lebih banyak pembedahan pemindahan muka tetapi menghadapi masalah mencari penderma.
"Persoalannya sekarang, adakah anda mahu jadi penderma atau adakah anda membenarkan ahli keluarga anda mendermakan wajah mereka?
"Jawapan daripada persoalan itulah yang harus kita ubah terlebih dahulu," jelasnya. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan