AMMAN: Usaha Permaisuri Rania dari Jordan untuk menepis tanggapan negatif terhadap Islam menerusi laman web popular Youtube, membuahkan hasil apabila ia menerima kunjungan 2 juta pengguna internet sejak dilancarkan lima bulan lalu.
Permaisuri jelita dikenali kerana pelbagai usaha kemanusiaan dan kebajikan, muncul menerusi pelbagai video interaktif di laman www.youtube.com/queenrania pada Mac lalu dalam usaha mewujudkan dialog sihat antaranya golongan muda negara Barat selain mempromosi Islam sebagai agama keamanan.Hampir setiap hari, Rania yang berdarah Palestin, memuatkan video dan hasil tulisannya dengan harapan dapat menepis tanggapan negatif rakyat Barat khususnya, terhadap umat Islam serta agama suci berkenaan.
Antara topik dipaparkan termasuk isu pembunuhan atas alasan mempertahankan maruah keluarga, keganasan dan hak wanita Arab.
Malah bukan saja Rania, ruangan itu turut disertai pandangan ahli muzik, pelawak dan personaliti. Pengunjung pula boleh menyertai sebarang perbincangan dengan menghantar pendapat masing-masing.
“Jika boleh, saya mahu menjadi perantara bagi membolehkan mereka yang salah tanggapan terhadap Islam, memperbetulkan pandangan mereka. Apa yang penting, sekurang-kurangnya apabila mereka mengunjungi laman kami, mereka dapat melihat perkara yang betul dan memperoleh manfaat daripadanya,” kata Rania dalam temubual menerusi e-mel kepada agensi berita Associated Press (AP) baru-baru ini.
Sebagai membuktikan hasilnya itu tidak sia-sia, muka surat berkenaan dalam laman web Youtube itu dikunjungi 2 juta pengguna internet yang melihat pelbagai video, termasuk kenyataan ringkas Rania mengenai tujuan program berkenaan.
Rania yang dikenali sebagai pejuang hak wanita dan kanak-kanak di Jordan, berkata beliau juga selesa dengan perbincangan secara terbuka dalam laman web berkenaan yang turut membuktikan kebebasan bersuara. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan