Rabu, 11 Jun 2008

Telefon bimbit jejas tumpuan remaja

LONDON: Satu kajian terbaru mendakwa remaja yang menghantar lebih lima Sistem Pesanan Ringkas (SMS) sehari dan kerap berbual menerusi telefon bimbit, berdepan masalah sukar tidur atau menikmati tidur berkualiti.

Malah, sekumpulan penyelidik Sweden itu turut memberi amaran, remaja yang kerap menggunakan SMS dan telefon bimbit itu juga mengalami tekanan yang boleh menyebabkan mereka menjadi perokok atau minum arak bagi mengatasi masalah itu.

Laman web akhbar Daily Telegraph melaporkan semalam, kajian penyelidik di Akademi Sahlgren di Gothenburg, Sweden juga mendapati golongan muda itu mengalami masalah tidur yang menjejaskan tumpuan berbanding rakan sebaya yang tidak banyak menggunakan alat perhubungan itu.

Kalangan pengguna telefon bimbit yang tegar itu didapati berasa lebih letih dan lesu pada siang hari dan terpaksa meminum kopi bagi memastikan mereka dapat terus berjaga.

Ramai di antara mereka ini yang berdepan tekanan untuk menamatkan perbualan mereka biarpun sudah melepasi waktu tidur. Lebih membimbangkan, tekanan sedemikian menyebabkan mereka lebih mudah untuk merokok atau minum arak,” kata ketua penyelidik, Dr Gaby Badre ketika membentangkan hasil penyelidikan itu pada mesyuarat tahunan ke-22, Persatuan Penyelidik/Profesional Masalah Tidur (APSS) di Baltimore.

Remaja itu juga didapati lebih lesu dan kurang memberi tumpuan berbanding rakan sebaya lain.

Hasil itu berdasarkan kajian penyelidik Sweden berkenaan ke atas 21 remaja sihat berusia 14 hingga 20 tahun yang menjalani jam persekolahan yang biasa dan tidak mengalami sebarang masalah tidur.

Responden itu kemudian diasingkan kepada dua kumpulan, yang pertama membabitkan mereka melakukan kurang lima panggilan sehari atau menghantar kurang lima SMS bagi tempoh sama.

Kumpulan kedua adalah mereka yang menggunakan telefon bimbit itu sekurang-kurangnya 15 kali sehari. - Agensi

source

Tiada ulasan:

Catat Ulasan