Isnin, 30 Jun 2008

Kutub Utara mungkin lenyap

Saintis AS dedah bongkah ais cair jadi lautan akibat perubahan cuaca dunia

LONDON: Sekumpulan saintis Amerika Syarikat mendakwa satu fenomena pelik tapi membimbangkan berlaku apabila kawasan Kutub Utara yang diketahui sejuk dan diselaputi bungkah ais, kini sebaliknya semakin cair dengan ketulan ais berkenaan diramal lenyap pada masa depan.
Penyelidik Pusat Data Salji dan Ais di Colorado, Amerika Syarikat, terkejut dengan penemuan itu yang disifatkan sebagai pertama kali berlaku dalam sejarah kewujudan manusia, lapor akhbar The Independent, semalam.
Kehilangan lautan ais Artik itu yang membolehkan usaha tiba di kawasan kutub berkenaan dengan cuma belayar, disifatkan antara paling dramatik dan membimbangkan serta bukti jelas kesan pemanasan global ke atas bumi.

Saintis itu mendakwa bungkah ais di kawasan 90 darjah ke utara kutub berkemungkinan sudah cair sepanjang tempoh musim panas ini.

"Daripada perspektif sains, Kutub Utara itu cuma satu kawasan di atas bumi, tetapi ia bukan sekadar satu simbol tetapi mempunyai kesan yang amat penting. Apa yang sepatutnya wujud dan terus kekal adalah kawasan diselaputi ais, bukan lautan yang cair," tegas salah seorang saintis terbabit, Dr Mark Serreze.

Jika ramalan mereka terbukti benar, ia meningkatkan lagi kebimbangan serta kemungkinan negara sekitar Artik itu diteroka bagi sumber minyak dan mineral asli yang selama ini sukar dijangkau kerana kewujudan ketulan ais tebal berkenaan.

Saintis yang berpengalaman itu percaya kemungkinan wujudnya kawasan Kutub Utara tanpa ais adalah pada nisbah 50:50. Ini berikutan bukti ketara yang mana lapisan ais yang tebal sejak bertahun-tahun lamanya di Kutub berkenaan, semakin cair dan digantikan dengan lapisan nipis yang terbentuk dalam masa setahun.

Ais itu dikatakan amat mudah cair ketika musim panas kali ini dan data satelit terbaru yang diperoleh sejak beberapa minggu menunjukkan kadar kecairan ais itu jauh lebih pantas berbanding tahun lalu.

"Isunya adalah buat pertama kalinya, sepanjang yang saya tahu, Kutub Utara diselimuti ais yang terbentuk pada musim luruh dan sejuk lalu. Memang ganjil bagaimana ais itu boleh cair," kata Dr Serreze.

Setiap musim panas, ais cair sebelum terbentuk semula sepanjang tempoh musim sejuk Artik. Tetapi kehilangan bungkah ais di lautan itu sebegitu ketara sehinggakan Lautan Artik kini menjadi kawasan dipenuhi air. - Agensi

bh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan