JEDDAH: Dimulakan dengan kerja perluasan Masjidil Haram, Arab Saudi mengarahkan pembinaan enam projek hartanah di wilayah tengah Makkah pada kos keseluruhan SR50 bilion (RM43 bilion).
Penganalisis berkata, projek baru itu yang akan siap dalam masa 10 tahun akan mengubah wajah Tanah Suci kerana peningkatan kediaman, urusan pengangkutan dan kemudahan kepada jemaah haji dan penduduk.
Perluasan masjid itu yang diarahkan oleh Raja Abdullah, menyebabkan pemusnahan kira-kira 1,000 hartanah di kawasan Shamiya. Dana dilaporkan sebanyak SR6 bilion (RM5.1 bilion) diwujudkan untuk memberi pampasan kepada pemilik hartanah yang diambil dalam usaha meluaskan ruang berhampiran masjid.
Projek Shamiya ditubuhkan untuk menyediakan ruang solat lebih besar di utara masjid dan memudahkan pengangkutan jemaah haji. Sebilangan besar hotel dan pangsapuri serba lengkap akan dibina di kawasan itu, yang juga akan memiliki lebih banyak perkhidmatan utiliti.
Satu lagi projek berhampiran masjid, yang dinamakan projek Jabal Khandama, terletak di timur masjid dan akan termasuk beberapa menara hotel. Kira-kira 15 peratus daripada 150,000 meter persegi projek ini akan dikhaskan untuk penduduk.
Sementara projek Jabal Omar memberi tumpuan di barat daya masjid. Kawasan seluas 230,000 meter persegi itu akan termasuk hotel, menara kediaman, pusat beli belah dan kemudahan awam.
Jabal Omar akan menawarkan kemudahan kediaman kepada 100,000 orang, ruang solat dilengkapi pendingin hawa yang boleh memuatkan sehingga 100,000 jemaah dan ruang solat terbuka untuk 120,000 jemaah.
Perluasan kawasan sekitar Hospital Ajyad, di tenggara masjid, mengandungi kerja pembinaan sebuah hospital lanjutan dan pusat perubahan sebagai tambahan kepada kemudahan bantuan dan kecemasan sedia ada. - Agensi & Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan