Isnin, 14 April 2008

Tiada Bukti Virus H5N1 Jangkit Di Kalangan Manusia, Kata Saintis

KUALA LUMPUR, 12 April - Virus baru H5N1, penyebab wabak selesema burung, telah terbukti tidak menular di kalangan manusia, menurut seorang saintis.

Ketua Profesor Universiti Hong Kong, Prof Dr Joseph Sriyal Malik berkata penemuan setakat ini menunjukkan tidak ada perubahan besar pada virus tersebut sehingga ke peringkat jangkitan dari manusia ke manusia lain walaupun berlaku perubahan pada virus itu.   

"Virus tersebut sentiasa berubah. Bagaimanapun, hakikatnya ia berubah tetapi tidak semestinya ianya membawa keburukan kepada manusia.

Setakat ini, tiada penemuan bahawa perubahan itu boleh meningkatkan kemungkinan penularan di kalangan manusia," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk "Ancaman Selesema Burung dan Sindrom Akut Pernafasan Teruk (SARS).

Dr Malik, yang juga merupakan Pengarah Saintifik Pusat Penyelidikan HKU-Pasteur di Hong Kong, berada di sini untuk Siri Ceramah Anugerah Sains Mahathir di Universiti Malaya di sini.
Dr Malik, pemenang Anugerah Sains Mahathir 2007, berkata amalan terbaik membendung penularan wabak selesema burung adalah dengan mengasingkan binatang ternakan di pasar kerana penemuan mendapati risiko penularan virus itu lebih tinggi di pasar berbanding ladang ternakan.

"Ini kerana persekitaran dalam sebuah pasar, virus pelbagai jenis ternakan boleh merebak dengan mudah, jadi ia meningkatkan risiko virus merebak ke kawasan yang lebih luas.

"Adalah penting untuk mengurangkan frekuensi kesemua pelbagai jenis ternakan berkumpul di satu tempat di pasar. Kaedah ini adalah cara terbaik untuk menghalang virus itu daripada penyebaran," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penceramah, Prof Dr C.T. Tan, dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya, berkata secara paling sesuai, ladang-ladang babi harus ditempatkan jauh daripada sebarang habitat kelawar kerana takungan virus "Nipah Encephalitis" ditemui pada habitat tersebut. - bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan