Selasa, 12 Februari 2008

Tali pinggang belakang selamat 50 peratus nyawa

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Memakai tali pinggang keledar di bahagian tempat duduk belakang kenderaan boleh menyelamatkan kira-kira 50 peratus nyawa penumpang sekiranya berlaku kemalangan.

Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof. Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohaidi, peratusan itu diperoleh berdasarkan kajian Miros mengenai tahap keberkesanan pemakaian tali pinggang keledar di kalangan pemandu dan penumpang kenderaan.

Pada masa yang sama, beliau berkata, ia juga boleh menyelamatkan 40 hingga 50 peratus nyawa penumpang di bahagian hadapan.

''Berdasarkan kajian Miros juga, sebanyak 81 peratus kenderaan di negara ini mempunyai tali pinggang keledar di bahagian tempat duduk belakang,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai kajian Miros tentang pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang tempat duduk belakang kenderaan persendirian.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy, Sabtu lalu berkata, kerajaan bersetuju mewajibkan peraturan pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang tempat duduk belakang kenderaan persendirian.

Bagaimanapun, menurut beliau, orang ramai tidak perlu menunggu tarikh pelaksanaan peraturan itu kerana ia masih dalam peringkat untuk mengemaskini proses perundangan, pendidikan dan teknikal.

Radin Umar berkata, peraturan itu masih belum boleh dilaksanakan sepenuhnya kerana beberapa proses berkaitan pelaksanaan belum diselesaikan sepenuhnya.

''Ia termasuklah proses perundangan, pendidikan dan aspek teknikal yang kini sedang dijalankan,'' katanya.

Ditanya mengenai beberapa pihak yang menentang pelaksanaan peraturan itu, beliau berkata, peraturan itu penting dan perlu dilaksanakan demi keselamatan orang ramai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan