PUTRAJAYA 11 Feb. - Mulai akhir tahun ini, semua produk makanan perlu dianalisis kandungan nutrien dan maklumat labelnya oleh Kementerian Kesihatan sebelum dipasarkan.
Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan kementerian, Dr. Abd. Rahim Mohamad berkata, peraturan baru itu bertujuan memastikan syarikat pengeluar mematuhi iklan produk makanan yang disiarkan di media cetak dan elektronik.
Beliau menarik perhatian mengenai sesetengah syarikat menyiarkan iklan produk mereka secara keterlaluan sehingga memperdaya pengguna.
Menurutnya, prosedur kelulusan prapasaran pelabelan yang kini dikuatkuasakan di Thailand dan Indonesia dijadikan model untuk diikuti Malaysia.
''Antaranya ialah iklan yang memaparkan khasiat kopi, susu dan makanan tambahan. Peraturan baru ini nanti dilihat lebih baik kerana boleh meningkatkan keyakinan pengguna dan syarikat pengeluar itu sendiri bahawa produk yang dipasarkan sudah mematuhi semua aspek peraturan iaitu dari segi kandungan produk dan pelabelan," katanya di sini hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Dialog antara Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan dengan ejen-ejen pengiklanan berkaitan isu label dan iklan makanan.
Abd. Rahim bagaimanapun berkata, pihaknya masih mengkaji kaedah terbaik bagi melaksanakan prosedur tersebut supaya dapat disesuaikan dengan situasi di negara ini serta kemampuan kementerian dari segi kakitangan.
''Ini kerana prosedur yang diamalkan di Thailand dan Indonesia itu membabitkan kakitangan yang ramai," katanya.
Justeru, katanya, dengan jumlah kakitangan di Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan yang terhad sedangkan terdapat ribuan produk makanan dalam pasaran, maka proses kelulusan prosedur kemungkinan mengambil masa lama.
''Kita sedang kaji untuk mulakan dengan produk berisiko tinggi seperti susu kanak-kanak dan produk untuk orang tua sementara yang lain-lain masih dalam perancangan," katanya.
Beliau menambah, mulai tahun ini, pihaknya akan menguatkuasakan peraturan termasuk mendakwa syarikat pengeluar yang melanggar peraturan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
''Ini dibuat selepas mendapati banyak syarikat yang ingkar walaupun arahan sudah diberikan," katanya.
Menurutnya, kebanyakan syarikat pengeluar sedia maklum mengenai akta tersebut dan menyedari tindakan tegas yang bakal dihadapi jika mengingkarinya.
Ditanya mengenai jumlah syarikat pengeluar yang pernah dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan ditetapkan, beliau berkata: ''Tidak banyak yang dikenakan tindakan kerana kebanyakan syarikat tahu mengenainya." - Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan