NEW YORK 12 Feb. - Ramai penduduk miskin dunia tidak mampu membeli makanan disebabkan kenaikan harga, kekurangan bekalan, kenaikan harga minyak dan penggunaan hasil tanaman yang meningkat bagi menghasilkan biofuel, kata Ketua Program Makanan Dunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Josette Sheeran."Kita kini menyaksikan semakin ramai orang kelaparan, dan bilangannya lebih ramai berbanding sebelum ini," katanya dalam satu temu bual dengan The Associated Press (AP), semalam.
WFP ketika ini sedang menjalankan penilaian ke atas 30 buah negara yang teruk dilanda krisis bekalan makanan.
Malah, ia turut meramalkan negara-negara Afrika Barat bakal berdepan krisis kekurangan hasil tanaman berikutan banjir besar yang telah melanda rantau itu baru-baru ini sehingga menjejaskan pendapatan para petani.
Menurut Sheeran, cuaca buruk yang melanda banyak negara, menjadikan keadaan lebih ketara apabila harga makanan terus meningkat sehingga menjejaskan ramai penduduk miskin.
Selain itu katanya, kenaikan harga minyak turut menaikkan lagi harga makanan, kerana bahan bakar itu digunakan dalam kebanyakan rantaian pengeluaran makanan-merangkumi penanaman, membaja dan pengedaran.
"Fakta menunjukkan bahawa harga makanan turut berdasarkan kepada harga minyak. Misalnya, minyak sawit di Afrika yang digunakan untuk biofuel, kini dipasarkan pada harga petrol menyebabkan ramai tidak mampu membelinya.
"Bagi kebanyakan negara yang terjejas, tindakan segera perlu diambil untuk menangani (kekurangan bekalan makanan)," kata Sheeran.
Menurut Sheeran lagi, antara langkah yang boleh diambil bagi membantu negara terbabit ialah membekalkan bahan makanan dan mengawal pasarannya.
Mengenai krisis bekalan makanan di negara yang dilanda cuaca buruk pula, beliau berkata, masyarakat antarabangsa perlu memastikan keperluan asas penduduk di negara terbabit tidak terjejas. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan