Rabu, 13 Februari 2008

Lukisan RM541j lesap - Rompakan karya agung terbesar dalam sejarah dunia

ZURICH 12 Feb. – Kumpulan perompak bersenjata telah berjaya melarikan empat lukisan karya agung Impresionis dianggarkan bernilai AS$164 juta (RM541 juta) dalam satu rompakan terbesar seumpamanya dalam sejarah dunia.

Menurut polis, rompakan yang berlaku lewat petang Ahad itu membabitkan hasil karya Cezzane, Degas, Van Gogh dan Monet di Muzium Yayasan Buehrle.

Kejadian tersebut menyusul selepas lima hari rompakan barang-barang seni di sebuah bandar lain yang berdekatan.

Pengarah Buehrle, Lukas Gloor berkata, karya yang dicuri merupakan empat koleksi terbaik muzium berkenaan.

Polis dalam kenyataannya menyatakan, tiga lelaki bertopeng memasuki muzium pada pukul 4.30 petang Ahad (11.30 malam, hari Ahad waktu Malaysia) dan mengugut kakitangan dengan menggunakan pistol.

Para perompak terbabit kemudian memunggah semua lukisan terbabit ke dalam sebuah kereta putih sebelum melarikan diri ke arah Zollikon di tenggara Zurich.

Kami memperkatakan mengenai rompakan paling besar di Switzerland, malah di Eropah,” kata jurucakap polis Zurich, Mario Cortesi.

Menurut polis, seorang perompak terbabit bertutur dalam bahasa Jerman dengan loghat Slavik.

Lukisan yang dicuri adalah Poppies near Vetheuil oleh Claude Monet (1879); Count Lepic and his Daughters oleh Edgar Degas (1871); Blossoming Chestnut Branch oleh Vincent Van Gogh (1890); dan Boy in a Red Vest oleh Paul Cezzane (1988).

Gloor berkata, semua lukisan yang dicuri dikenali di seluruh dunia dan mustahil dapat dijual di pasaran terbuka. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan