Jumaat, 1 Februari 2008

Diego Maradona akhirnya minta maaf

LONDON – Bekas pemain bola sepak Argentina, Diego Maradona akhirnya meminta maaf buat pertama kalinya berhubung insiden ‘tangan Tuhan’ yang menyebabkan England tersingkir dalam perlawanan pusingan akhir bola sepak Piala Dunia pada 1986, lapor sebuah akhbar semalam.

MARADONA menunjukkan isyarat bagus sebelum pertandingan kelab bola sepak Atletico de Madrid dengan Valencia di Stadium Vicente Calderon, Madrid kelmarin.

Dalam perlawanan bersejarah di Mexico itu, Maradona melompat dan tangannya menyentuh bola menyebabkan ia memasuki pintu gol sebelum menewaskan England 2-1 dalan pertandingan peringkat suku akhir.

Argentina juga muncul juara dalam pertandingan itu dengan menewaskan Jerman Barat 3-2.

Alangkah bagusnya jika saya mampu kembali (ke pertandingan itu) dan mengubah semula sejarah,” katanya.

Maradona tidak pernah meminta maaf sebelum ini berhubung insiden itu tetapi kerap mendakwa bahawa ia adalah bantuan daripada kepala dan tangan Tuhan.

Bagaimanapun, dia kemudian berkata dalam temuramah dengan sebuah akhbar Britain: “Seorang penyokong England datang kepada saya pada minggu ini dan meminta tandatangan saya dan menyatakan anda adalah seorang legenda.

Ia membuatkan saya berasa gembira. Rakyat anda cukup berbudi bahasa dan baik walaupun terdapat sejarah antara kedua-dua buah negara.

Jika saya boleh meminta maaf dan kembali semula mengubah sejarah, saya mahu melakukannya. Namun, gol tetap merupakan gol. Argentina menjadi juara dunia dan saya merupakan pemain terbaik di dunia,” katanya.

Maradona berada di Britain untuk menemui bintang bola sepak Chelsea, Claude Makelele dan pengurus kelab itu, Avram Grant.

Dia juga mendedahkan rancangannya untuk berpindah ke Britain dan melatih sebuah kelab Liga Perdana Inggeris. – Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan