Selasa, 22 Januari 2008

Wanita hamil minum kopi risiko gugur

CHICAGO: Wanita hamil yang minum dua cawan kopi atau lebih setiap hari mempunyai dua kali risiko keguguran berbanding mereka yang mengelak mengambil minuman berkafein berkenaan.

Sekumpulan penyelidik Amerika Syarikat berkata, kajian berkenaan memberikan bukti yang kukuh bahawa dos kafein yang tinggi ketika hamil iaitu sebanyak 200 miligram atau lebih sehari atau menyamai dua cawan kopi menambahkan risiko keguguran.

Mereka berpendapat bahawa kajian berkenaan mungkin menimbulkan konflik dalam laporan membabitkan kaitan antara kesan kafein dan keguguran.

"Wanita yang hamil atau sedang cuba hamil perlu berhenti minum kopi selama tiga bulan atau jika boleh sepanjang kehamilan," kata Dr. De-Kun Li dari Kaiser Permanente Division of Research yang kajiannya disiarkan dalam Jurnal Obstetriks dan Ginekologi Amerika Syarikat.

"Banyak ketidaktentuan dalam perkara ini. Tidak ada nasihat tegas daripada persatuan profesional untuk mengatakan bahawa seseorang wanita hamil perlu lakukan sesuatu mengenai pengambilan kafein," kata Li dalam satu temu bual telefon.

Li berkata, antara 15 hingga 18 kajian mendapati ada kaitan antara penggunaan kafein ketika kehamilan dan keguguran.

Bagaimanapun, mereka dikaburkan dengan fakta bahawa kebanyakan wanita hamil mengelak pengambilan kafein kerana ia akan menyebabkan mereka berasa loya yang sekali gus mengalihkan keputusan terbabit.

Kajian Li dan rakan-rakannya membabitkan 1,063 wanita hamil yang juga ahli rancangan kesihatan Kaiser Permanente di San Francisco sejak Oktober 1996 hingga Oktober 1998. Wanita dalam kumpulan terbabit tidak pernah menukar penggunaan kafein mereka ketika kehamilan.

Apa yang mereka dapati bahawa wanita yang mengambil kopi menyamai dua cawan atau lebih kopi biasa atau lima tin minuman soda berkafein mempunyai dua kali risiko untuk keguguran berbanding mereka yang tidak mengambil minuman berkafein terbabit.

Risiko ini dikatakan mempunyai kaitan dengan kafein berbanding bahan kimia lain dalam kopi kerana mereka juga melihat pertambahan risiko apabila kafein digunakan dalam soda, teh atau coklat panas.

Li berkata, kebanyakan penyelidik berpendapat bahawa kafein mungkin berbahaya kerana ia menyebabkan tekanan kepada metabolisme tidak matang janin. - Reuters

.
.


Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan