PETALING JAYA: “Saya rasakan kemungkinan lelaki yang dilihat itu adalah suspek yang disyaki melarikan Nur Fatiha Zaidi, 6, berdasarkan lakaran wajahnya yang dipaparkan dalam akhbar sebelum ini.“Walaupun keyakinan saya itu hanya 70 peratus, namun lelaki yang dilihat ketika itu benar-benar seperti lakaran wajah yang dipapar dalam akhbar,” kata seorang saksi, Yuslan Yusof, 45.
Dia mendakwa melihat kelibat lelaki terbabit di taman permainan tempat yang dikatakan, Sharlinie Mohd Nashar, 5, (Linie), bermain bersama kakaknya sebelum dilaporkan hilang di Taman Medan, di sini, Rabu lalu.
Menurut pekerja swasta berusia 45 tahun itu, pada hari kehilangan Linie itu, dia ternampak dua lelaki menaiki motosikal berlegar-legar di kawasan perumahan terbabit kira-kira jam 12 tengah hari hingga 1.15 tengah hari.
Yuslan berkata, ketika itu, dia berada di gerainya yang terletak tidak jauh dari taman permainan terbabit.
Katanya, kedua-dua lelaki itu menunggang motosikal jenis Yamaha 125 berwarna biru dan dilihat berlegar di kawasan taman permainan itu sebelum mereka bertemu dengan seorang rakan.
“Ketika itu, saya sempat memerhatikan wajah kedua-dua lelaki terbabit ketika mereka berlegar-legar di kawasan ini.
“Selepas membaca akhbar keesokannya, barulah saya menyedari yang wajah seorang daripada lelaki itu sama seperti lakaran suspek yang dicari polis kerana disyaki melarikan Nur Fatiha Zaidi sebelum itu,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, lelaki yang dikatakan mempunyai wajah seiras seperti fotofit yang diedarkan itu berusia lingkungan usia akhir 30-an, dengan ketinggian kira-kira 160 sentimeter (sm) serta berkulit hitam manis dan membonceng motosikal terbabit.
Difahamkan lelaki yang membonceng motosikal dan wajahnya seiras fotofit yang dipaparkan akhbar itu memakai jaket dan topi keledar berwarna hitam.
“Mereka kemudian dilihat berada di bangku berhampiran taman permainan berkenaan dan selepas beberapa minit semua lelaki terbabit beredar dari situ,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian membuat laporan polis malam kelmarin selepas mengesyaki yang lelaki terbabit kemungkinan suspek yang dicari polis.
Akhbar Rabu lalu melaporkan seorang kanak-kanak Nur Fatiha Zaidi, 6, ditemui orang awam sebelum dia dihantar ke Balai Polis Wangsa Maju.
Lakaran wajah suspek yang melarikannya kemudian disiapkan berdasarkan keterangan Nur Fatiha yang diambil pegawai polis bagi memudahkan polis memburu suspek dikehendaki itu selepas 48 jam dia ditemui.
Ketika lakaran wajah suspek di paparkan di akhbar, seorang lagi kanak-kanak (Linie) turut dilaporkan hilang dipercayai dilarikan lelaki sama berikutan tempat kejadian tidak sampai dua kilometer dari tempat kehilangan Nur Fatiha yang diculik sebelum dipulangkan semula.
- Oleh faizatul Farlin Farush Khan, Hadzlihady Hassan, Zulfa Mohamad dan Tuty Haryanti Ahmad Rodzi (am@hmetro.com.my)
.
Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan