Khamis, 17 Januari 2008

Salur Maklumat Mengenai Sharlinie Ke 1800-88-LINI (5464)

KUALA LUMPUR, 16 Jan, - Orang ramai yang ingin menyampaikan maklumat mengenai adik Sharlinie Mohd Nashar, 5, kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak 9 Jan lepas kini boleh menggunakan talian bebas tol khas 1800-88-LINI (5464).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata perkhidmatan talian itu yang merupakan sumbangan ikhlas Telekom Malaysia, akan dijadikan saluran utama bagi menerima maklumat dari orang ramai bagi membantu polis dalam siasatannya.

Perkhidmatan talian itu beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan diuruskan oleh Polis Diraja Malaysia, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau meminta orang ramai supaya tidak menyalahgunakan talian bebas tol itu untuk mengelakkan gangguan terhadap siasatan polis.

Musa berkata talian bebas tol itu mempunyai ciri yang boleh mengesan lokasi asal pemanggil dan seterusnya memindahkan panggilan itu secara automatik ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen berdekatan bagi memudahkan polis bertindak segera apabila menerima maklumat. - (bernama)


TERUS MENCARI... Pemandu bas ekspres Azmi Hamzah melekatkan gambar adik Sharlinie pada papan kenyataan di Terminal Bas Makmur. Usaha pencarian masih diteruskan di seluruh negara bagi menjejaki kehilangan adik Sharlinie termasuk oleh pihak berkuasa, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta orang awam. Foto: Zulfaidi

.


Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan