Sabtu, 12 Januari 2008

Manusia pertama tawan Everest meninggal dunia

WELLINGTON 11 Jan. – Rakyat New Zealand yang merupakan orang pertama menawan Gunung Everest, Sir Edmund Hillary meninggal dunia hari ini pada usia 88 tahun.

Hillary yang mencapai puncak gunung tertinggi di dunia itu bersama-sama Sherpa Tenzing Norgay pada 29 Mei 1953, meninggal dunia akibat serangan sakit jantung di Hospital Auckland setelah lama mengalami masalah kesihatan.

Beliau yang merupakan antara pengembara terkemuka dan warga New Zealand paling terkenal di dunia, dianugerahi gelaran Sir sejurus selepas pendakian bersejarahnya itu.

Sir Edmund menggambarkan dirinya sebagai warga New Zealand biasa yang memiliki kebolehan sederhana.

Sebenarnya beliau seorang tokoh gergasi,” kata Perdana Menteri, Helen Clark dalam satu kenyataan untuk mengumumkan kematian wira negara itu.

Clark menyifatkan Hillary sebagai seorang wira yang bukan sahaja berjaya menakluk Everest tetapi juga menjalani kehidupan dengan penuh azam, rendah hati dan bersifat pemurah.

Laporan mengenai kejayaan ekspedisi diketuai Britain ke puncak gunung setinggi 8,848 meter itu diumumkan pada hari pertabalan Ratu Elizabeth pada 2 Jun 1953, sekali gus memarakkan semangat patriotik di Britain dan bekas tanah jajahannya, New Zealand.

Selepas Everest, Hillary melakukan satu lagi pengembaraan besar pada 1957 untuk mendirikan Pangkalan Scott di Antartika dan mengetuai ekspedisi pertama berkenderaan mengikut jalan darat ke Kutub Selatan.

Bekas pemelihara lebah itu satu-satunya rakyat New Zealand yang wajahnya terpampang pada mata wang negara ini ketika beliau masih hidup.

Beliau dilihat sebagai wira negara dan dunia yang menggunakan kemasyhurannya untuk membantu rakyat Nepal dan bukan untuk memperkayakan diri sendiri.

Pada 1960-an, beliau menubuhkan Yayasan Himalaya untuk membantu pembangunan penduduk Sherpa di kawasan pergunungan Himalaya dengan membina sekolah dan hospital.

Kerana reputasinya di benua kecil itu, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke India pada 1984. – AFP

.


Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan