PETALING JAYA: “Ada seorang lelaki seperti orang alim datang ke rumah saya dan menawarkan bantuan untuk turut serta mencari Sharlinie menggunakan kaedah tersendiri,” kata Mohd Nashar Mat Hussin, 32, bapa kepada Sharlinie, 5, yang hilang berhampiran rumahnya di Taman Medan, minggu lalu.Nashar berkata, lelaki berketayap berusia lingkungan 50-an itu yang tidak dikenalinya, tiba di kediamannya kira-kira jam 9 pagi semalam.
“Dia (lelaki terbabit) mengatakan akan berikhtiar mencari Sharlinie. Dia mendakwa datang dari Melaka dan sering menjadi imam di sebuah masjid di sana.
“Saya memberi keizinan dan berasa amat berbesar hati kerana ada orang sanggup datang dari jauh semata-mata mahu menolong kami mencari Linie,” katanya.
Nashar berkata, lelaki terbabit yang tidak diketahui nama dan identitinya,memberitahu dia akan melakukan sembahyang hajat dan bacaan Yasin di masjid sekitar tempat asalnya di Melaka.
“Selepas mendapat izin saya, lelaki itu yang datang seorang diri terus pulang,” katanya.
Ditanya mengenai perkembangan semasa, Nashar yang bekerja sebagai tukang elektrik berkata, dia sekeluarga bersama saudara-mara akan terus berusaha mencari Linie di sekitar kawasan penempatannya.
“Kami turut mencari sendiri Sharlinie, jiran tetangga juga turut membantu, kami memulakan gerakan mencari pada siang hari sehingga sekitar jam 3 pagi.
“Gerakan mencari akan diteruskan setiap hari sehingga Linie ditemui,” katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai SMS palsu yang kerap diterimanya, Nashar berkata kini dia dan keluarga tidak memiliki telefon bimbit malah semua urusan penyaluran maklumat diserahkan kepada polis.
“Saya kini tidak mempunyai telefon bimbit selepas terlalu kerap menerima SMS palsu dan telefon itu kini diambil polis dan segala maklumat disalurkan terus kepada polis.
“Ini untuk mengelakkan orang yang tidak bertanggungjawab menghantar SMS berisi maklumat palsu,” katanya.
Sementara itu, seorang pengamal perubatan tradisional yakin Sharlinie berada dalam keadaan selamat dan dijaga individu tertentu di satu lokasi berhampiran kediaman keluarga kanak-kanak itu.
Pengerusi Persatuan Sabilillah 11 Serangkai, Nasir Mahmud, berkata berdasarkan firasat dan nalurinya, kanak-kanak malang itu masih berada di sekitar taman perumahan berkenaan.
“Saya sudah melihat kawasan kejadian (taman permainan) dan naluri saya dapat merasai Sharlinie kini selamat bersama individu tertentu di kawasan sekitar sini,” katanya ketika melawat kediaman keluarga kanak-kanak itu di sini, semalam.
Hadir sama, kira-kira 20 ahli persatuan itu dari Selangor dan Perak yang turut meninjau lokasi kejadian selain melakukan solat hajat dan bacaan Yasin. - myMetro
.
Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan