Selasa, 22 Januari 2008

Kawalan pintu sempadan diperketat

KUALA LUMPUR 21 Jan. – Kementerian Pertahanan terus mengetatkan kawalan di pintu sempadan bagi mengelakkan penculik Sharlinie Mohd. Nashar, 5, yang hilang sejak lebih 10 hari lalu bolos.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin berkata, arahan tersebut kekal, selepas dikeluarkan kepada para anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sempadan sejak kes kehilangan Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin pada September tahun lepas.

‘‘Jadi arahan tersebut dilanjut dan diperkemaskan bagi membantu usaha pasukan polis mencari Sharlinie,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Pertahanan Jepun, Kohei Masuda di sini hari ini.

Hadir sama, Duta Jepun Ke Malaysia, Masahiko Horie.

Zainal Abidin menambah, anggota dan pegawai ATM di sempadan negara kini menjalankan pemeriksaan ketat ke atas aliran keluar barangan keperluan harian serta individu yang membawa kanak-kanak.

Katanya, jika didapati mencurigakan, individu dan kanak-kanak terbabit akan dihantar kepada polis untuk disiasat lanjut.

Bagaimanapun menurutnya, anggota dan pegawai ATM tidak akan terlibat dalam usaha mencari Sharlinie dari rumah ke rumah seperti yang dilakukan pihak polis.

‘‘Ini kerana ia bercanggah dengan peraturan dan ketetapan undang-undang negara,’’ katanya. - Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR (utusan)

.
.


Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan