Isnin, 19 November 2007

Viagra Herba Kerala Dihasilkan Daripada Sayuran India

NEW DELHI, 18 Nov, - Doktor di Kerala menggunakan "Muringa" (sejenis sayuran India) dan Musli, gingseng versi India, untuk menghasilkan ubat mati pucuk iaitu viagra herba bagi lelaki dan wanita.

Dikatakan mempunyai kandungan kimia yang rendah serta tiada kesan sampingan direkodkan dalam kalangan penggunanya, ubat itu menjadi tumpuan di India selepas kejayaannya di Kerala - negeri di selatan India yang terkenal dengan ubat-ubatan Ayurvedik bagi pelbagai penyakit.

Dikenali sebagai "Musli Power X-Tra", viagra itu mengandungi Musli, herba tempatan yang banyak ditanam di utara India, terkenal untuk perubatan seksual dan pemulihan kesihatan, kini dijual di kedai ubat di sini.

"Ia merupakan produk yang mengandungi enam ramuan yang dapat memulihkan keseluruhan kesihatan termasuk daya seksual. Kadar toksik dalam kapsul herba ini juga sedikit dan membantu memulihkan kesihatan," kata Dr T.V. Mathew, pakar psikologi klinikal dan perunding terapi seks di Kunnath Pharmaceuticals yang mengeluarkan produk itu kepada BERNAMA.

Di samping Musli, viagra itu mengandungi lapan lagi ekstrak herba tempatan yang tersenarai dalam teks Ayurvedik, termasuk Muringa, yang terkenal bagi khasiat melindungi jantung dan meningkatkan peredaran darah.

Pasukan doktor termasuk Dr Mathew, menjalankan ujian klinikal keberkesanan Musli Power X-Tra ke atas pesakit yang mengalami masalah mati pucuk di Tamil Nadu dan Pondicherry selama sembilan bulan dan tidak merekodkan sebarang maklum balas negatif daripada pesakit.

Pulangan jualan syarikat itu ialah kira-kira RM350,000 sebulan dengan 400 kedai ubat menjual produk itu di India. - Bernama (Oleh P. Vijian)



> Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan