2+4 hrs...Twogether Fourever

/

Terhangat Di Pasaran - Episod 1

Tina tergesa-gesa masuk ke dalam rumah. Dia sedar dia sudah terlewat dari perancangan awal. Tanpa mempedulikan beg kertas barang-barang runcit yang sedang dikendongnya, terus dicampakkan semua beg itu ke atas meja. Dan dirinya sendiri, terkocoh-kacah mengambil tempat di atas sofa, di ruang tamu. Kebetulannya Sharifah sedang bersandar senang di situ, dan gadis itu kelihatannya tersenyum jempul menyaksikan keadaan dirinya yang bagaikan atlit baru lepas membuat larian pecut.

Tina tidak kuasa mahu memikirkan apa yang sedang Sharifah fikirkan. Apa yang paling penting, tumpuannya harus diberikan sepenuhnya kepada rancangan realiti terbaru, "Terhangat di pasaran", terbitan channel Senyum. Dan satu kemestian utama buat kipas susah mati (die hard fan) rancangan ini ialah menyediakan sebuah handset yang lengkap berisi kredit. Kredit itu semua akan digunakan untuk mengundi (TDPUNDI) bintang pujaannya, iaitu Harry, Natsuda, Ken dan Nick, supaya mereka semua terselamat daripada disingkirkan minggu ini.

Oh ya..terlebih dahulu.. biarlah dia menjelaskan serba sedikit berkenaan rancangan Terhangat di Pasaran ini. Rancangan ini bermula dari episode pertamanya, memperkenalkan 10 orang jejaka tampan dari pelbagai pelusuk negara. Mereka akan diajar mengikuti pelbagai bentuk kursus penjagaan diri, peragaan, grooming, lakonan dan fotografi. Selama sebelas minggu diberi pelbagai tunjuk ajar dari jururunding berpengalaman, mereka juga akan diberikan keselesaan menginap di sebuah istana diraja yang disewa khas untuk mereka. Setiap minggu seorang peserta lelaki yang paling kurang undiannya akan disingkirkan keluar. Dan pada minggu terakhir, dua orang peserta akan bersaing sesama sendiri untuk merebut juara pertama terhangat di pasaran. Mereka akan diberi kontrak menjadi model terkemuka, cover untuk majalah MASKULIT, seterusnya menjadi pelakon terkemuka filem terbitan Berdosa Picture Production.

Ah, sudahlah… Dia terlalu banyak bercerita. Sekarang program Terhangat di Pasaran sedang ditayangkan di kaca tv. Marilah kita mengalihkan perhatian kepada episode kedua yang tampaknya semakin menarik ini…

"Hoi Tina.. waktu mahgrib dah nak habis ni.. kau dah sembahyang maghrib ke belum?" tiba-tiba Sharifah menepuk bahu Tina dari belakang.
Tina tersentak dan terganggu. Dia menarik muka bengang.
"Apalah kau ni.. ganggu konsentrasi aku je.." rungutnya sambil menepis tangan Sharifah dari bahunya.
Sharifah menggelengkan kepala agak kesal.
"Aku cuma nak tahu..kau dah sembahyang maghrib ke?"
"Hari ni aku cutilah!"
"Aik..takkan setiap hari sabtu malam ahad jer..kau cuti?"
"Kau ni sibuklah.. nanti lepas habis rancangan ni, aku sembahyanglah.."

Semakin dalam keluhan kesal terbit dari sudut hati Sharifah apabila mendengar pengakuan bersahaja dari bibir kawannya itu. Memang begitulah keadaan Tina tatkala sedang menonton rancangan Terhangat di Pasaran. Tina bukan sahaja tidak boleh ditegur, malah sebarang temujanji paling mustahak sekalipun pun tidak boleh dibuat sekiranya ia bertembung dengan waktu konsert mingguan program berkenaan. Dia tidak mengerti apa menariknya melihat lelaki-lelaki gagah menggayakan pelbagai pakaian dan menayangkan susuk badan, sedangkan mereka juga sama seperti manusia lain. Mereka juga ada kelemahan dan kekurangan. Sekiranya topeng kosmetik dan sarung pakaian berjenama mereka ditanggalkan, mereka akan kelihatan sama seperti manusia biasa yang lain. Manusia yang perlu makan apabila lapar, perlu minum apabila dahaga, perlu tidur apabila keletihan dan perlu ke tandas untuk menyahut seruan alam.

Sudah banyak dia berdebat dengan Tina mengenai perkara ini. Pertama, sikap Tina yang gemar menangguh-nangguhkan solat semata-mata kerana enggan terlepas menyaksikan babak-babak menarik bermula dari tujuh setengah petang lagi. Kedua, Tina sanggup menghabiskan puluhan ringgit hanya kerana mahu mengundi jejaka pujaannya supaya terus kekal dalam persaingan bagi minggu yang berikutnya. Dan yang paling tidak dapat diterima oleh kewarasan Sharifah ialah, Tina seringkali menangis tersesak-esak apabila jejaka pujaannya dimarahi oleh jururunding ataupun jejaka itu terpaksa pula disingkirkan kerana kekurangan undian.

Banyak kali dia menasihati Tina tetapi Tina belum bersedia untuk mematuhinya. Sering dia menegur sikap fanatic dan ketaksuban Tina yang sia-sia itu, tetapi nyata semua usahanya tidak mendapat reaksi yang sewajarnya. Segala-gala kata-katanya dipermudahkan, segala kebimbangannya dipersendakan, bahkan Tina mengganggap dia merupakan spesis kolot yang kini semakin terancam bilangannya. Kata Tina, orang konservatif seperti dirinya sepatutnya sudah tidak wujud lagi di zaman ini.
Sharifah terima semua itu dengan hati redha. Dia sedar bukan keupayaannya untuk merubah hati manusia. Hidayah dan petunjuk datangnya dari yang Maha Esa.

Tanggungjawabnya cuma untuk memberi peringatan, dan selebihnya terpulanglah kepada Allah untuk menentukannya. Akhirnya, tatkala azan isyak mula berkumandang, Sharifah pun bingkas dari atas sofa meninggalkan Tina sendirian di situ. Perlahan-lahan dia menghilangkan diri ke bilik air dan dia sudah pun bersedia untuk menunaikan kewajipannya kepada Tuhan yang telah menciptakan sekalian manusia.

Terduduk sendirian di sofa, mata Tina tidak berkelip-kelip menyaksikan peserta-peserta akademi menggayakan pelbagai baju kasual di atas pentas. Hatinya menjadi lebih tenteram setelah Sharifah berlalu. Kini dia dapat menumpukan perhatiannya seratus peratus tanpa diganggu oleh sesiapa. Ustazah tak sekolah tadi sudah pun pergi sembahyang, dan sekarang tinggal dia sendirian. Dia dapat menarik nafas lega, tersenyum-senyum sendirian menyaksikan lelaki pujaannya yang bertubuh kekar dan mempunyai lirikan mata yang mempesona, memberikan pose-pose istimewa di atas pentas berbentuk T itu.

"Sekarang tibalah masa yang ditunggu-tunggu oleh kita semua.. siapakah gerangan pelajar yang akan pulang meninggalkan akademi untuk hari ini!" begitu ucap Karimah, pengacara wanita yang memang seksi dan bertubuh padat, pengacara yang bukan sahaja popular kerana kepetahannya berbicara tetapi dalam masa yang sama turut terkenal dengan keberaniaannya mengenakan pakaian-pakaian singkat dan menggiurkan.
Tina menarik nafas bimbang. Jantungnya berdegup kencang. Diperhatikannya satu demi satu jejaka yang sedang berbaris. Sembilan orang semuanya. Setiap seorang punya karisma dan keunikan tersendiri. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja Tina mengekalkan kesemuanya dalam barisan persaingan yang akan datang. Tetapi dia sedar, konsep rancangan berkenaan tidak membenarkannya. Setiap minggu, seorang peserta terpaksa jua dibawa pulang. Dan untuk minggu ini, siapakah orang itu? Adakah Harry yang berwajah Melayu-Itali itu? Atau Natsuda, jejaka kacukan Jepun? Kalau tidak Ken pun yang berwajah cina itu, tentu sahaja Nick, jejaka berwajah keanak-anakkan itu akan menjadi mangsa.

Ah, dia tidak sanggup melihat salah seorang dari mereka disingkirkan keluar. Mungkin nasib kali ini menyebelahi Harry kerana gaya machonya semasa di kolam renang tadi berjaya memikat perhatian juri. Natsuda pula, aksi senamannya di gymnasium pun tidak kurang hebatnya. Apa barangkali Ken akan disingkirkan kerana kegugupannya sewaktu menjawab soalan pengaraca sebelum ini? Atau barangkali Nick kerana pakaian peragaannya yang kurang sesuai?

Atau Johan? Atau Azlan? Atau Ashraf? Zack? Chong?
Ah.. semua ini kebimbangan yang ketara! Nyata sekali dia tidak sanggup kehilangan seorang pun dari mereka!
"Keputusan sudah ada di tangan saya…" umum Karimah sambil mengukir senyuman mengusik. Ditayangkan kad undian sms di tangannya kepada peserta-peserta lelaki di sebelah kirinya. Dan sejurus, dia pun mengoyakkan pelekat kad itu, lalu membuka dan membacanya.

Tina menahan nafas. Gugup. Jantungnya bagai mahu berhenti berdegup.
"Peserta yang terpaksa dihantar pulang minggu ini ialah…"
Tina menanti.
"Peserta itu adalah…"
Mata Tina tidak berkedip.

"Ashraf!!!!" umum Karimah galak dan lantang. Bergemalah suara riuh-rendah penonton dari ruang ballroom, sementara peserta-peserta lelaki di atas pentas pula sedang berpelukan bersama Ashraf. Ada yang senyum kerana kelegaan dan ada juga yang senyum kehibaan kerana terpaksa berpisah dengan seorang lagi teman seperjuangan mereka.

"Sial!" Tina mencampakkan remote tv ke atas permaidani. Geram.
"Aku ingat Johan yang perasan tu terkeluar! Rupanyer Ashraf pulak! Prestasi dia ok je.. tak adil betul!" gerutu Tina tidak keruan. Dia tidak sama sekali menduga Ashraf akan menjadi mangsa undian sms kali ini. Dalam penilaiannya, Ashraf memang berbakat dan berkebolehan bagi menjadi seorang public figure terkemuka. Sayangnya, Johan yang perasan itu tampaknya lebih diminati dan digemari. Apalah daya Tina untuk merubah segala keputusan itu. Begitulah lazimnya keputusan hasil undian ramai. Biarpun seseorang peserta itu mungkin jauh lebih baik dari peserta yang lain, namun kehendak penonton tidak dapat tidak terpaksa jua dituruti.

Diari harian; minggu ke tiga, hari selasa..

(Siaran secara langsung) Karimah seperti biasa tampil mengenakan seluar jeans sendat dan t-shirt singkat, menyerlahkan perutnya yang cantik itu, berjalan-jalan di pinggir jalan Pasar Seni, menemuramah beberapa orang pesiar pejalan kaki. Gaya lincah dan tutur katanya yang galak dan memikat, memang mudah meraih tumpuan pengunjung. Untuk kali pertamanya, dia menarik tangan seorang remaja perempuan yang kebetulannya sedang berjalan berhampiran.

"Ok.. apa nama adik ni?" Karimah menghulurkan mikrofon kepada gadis itu. Mereka berdua sama-sama tersenyum memandang kamera. Karimah tampak yakin sementara gadis sebelahnya pula tampak agak gementar dan serba salah.
"Err..saya.. nama saya Ella.." jawab gadis itu malu-malu.
"Wah.. Ella ya? Macam nama penyanyi Ella yang popular tu ke?" celah Karimah merancakkan suasana.
"Eh.. tak lah.. nama saya bukan ikut nama penyanyi tu.. nama saya ikut nama betul kak Karimah la.. apa namanya tu, ah.. Siti Tumpella kan?"
Karimah terkejut sejenak. Berubah air mukanya gugup.
"Err.. macam mana awak tahu nama betul saya?"
"Ala.. kak Siti Tumpella.. kita kan sekampung dulu.. selalu nampak kak Tumpella pagi-pagi keluar pakai baju kurung pegi menoreh getah.."
"Issy.. adik ni.." bisik Karimah sambil mengetap gigi, malu. "Kita on air ni.. jangan lah pecah lobang, panggil aja Kak Carrie dah lah. Satu Malaysia ingat kakak ni kacukan pan Asia.."

"Alah kak.. dulu kemain pakai baju kurung.. tudung.. anak ustaz lah katakan. Tak sangka sekarang bila dah popular.. dah tak cukup duit nak beli kain labuh-labuh.."
"Erk.." Karimah tertelan sesuatu. Mukanya bertukar merah padam.
"Bert! O, Bert..!" panggilnya kepada jurukamera yang sedang merakamkan perbualan mereka.
"Apa?" Bert meninjaukan sedikit kepalanya dari lubang focus kamera, memandang Karimah.
"Commercial break! Commercial break!" teriak Karimah, memberi isyarat tangan.
"Apa dia?" ternyata Bert belum lagi mengerti.
"Orang kata Commercial Break, Commercial Breaklah bodoh!"
"Apa? Nak tekan brek?"
"Hoi bangang! Aku kata Cut! Cutlah!"

Terkikih-kikih Tina menahan ketawanya menonton adegan itu menerusi kaca television. Tersembur keluar beberapa keping pop corn dari dalam mulut, dan sisanya bertaburan di atas permaidani. Sharifah menggeleng-geleng jengkel menyaksikan tingkahlaku ganjil Tina. Lantas dia bingkas, meninggalkan gadis itu bersendiri.

"Aku dah agak.. pompuan ni mesti pompuan kampong punya! Karimah konon, padahal Siti Tumpella!" ujar Tina seorang diri. Untuk seketika perhatiannya kembali ke kaca tv setelah selingan penaja berakhir. Siaran TDP berputar semula di kaca tv. Karimah muncul sekali lagi, kali ini dengan riak muka yang agak malu dan tutur kata tersekat-sekat.
"Maafkan saya penonton semua..err.. tadi ada kesilapan teknikal.." ucap Karimah dalam kesipuan. "Sekarang mari kita temuramah adik yang comel ni pulak.." sambungnya lantas menghampiri seorang gadis berambut pony dan berskirt pendek, di bawah pohon pinang, tempat kebanyakan muda-mudi melepak bersama kawan-kawan mereka.

Gadis itu memperkenalkan dirinya sebagai Julia. Dia tersenyum di hadapan kamera, memberikan pose menggoda buat tatapan para penonton.
"Okey.. Kak Carrie nak tanya Julia, agak-agaknya sapalah pelajar yang akan Julia undi hujung minggu ni nanti?" tanya Karimah sambil menyuakan mikrofon kepada Julia.
Julia mengikik ketawa mendengar.
"Oh, undi ya?" dia mengangkat keningnya. "Hemm..mestilah I want to vote for Harry.. wait.. I think I'm gonna vote for Natsuda.."
"Ha, kenapa nak vote Natsuda, or sebelum tu Harry?" celah Karimah penuh semangat.
Julia membungakan senyum miang.
"Of course lah sebab dia orang handsome, macho dan menggegarkan hati I.."
"Tapi bukan ke Natsuda selalu menimbulkan masalah semasa aktiviti berkelompok?"
"Hey, who care?" jeling Julia manja. "I tak kisah semua tu…janji dia gorgeous. Dalam pandangan I, dia sorang aja yang layak merangkul anugerah jejaka terhangat di pasaran sebab he's hot!"

Karimah mengangguk-angguk kagum. Lega sedikit hatinya berhadapan dengan seorang sukarelawan yang 'sporting'. Biarpun kegedikan Julia berjaya menyelamatkan keadaan, namun batinnya masih lagi berasa malu atas keterlanjuran peristiwa sebelum ini.
Selepas melayan beberapa rangkai lagi bicara sukarelawan tadi, Karimah beralih pula menyerbu seorang pemuda berkacamata yang kebetulannya baru keluar dari dalam pintu kaca Pasar Seni. Terpinga-pinga remaja berkenaan menyaksikan cahaya spotlight dan lensa kamera tiba-tiba difokuskan menghala ke arahnya.

"Ha.. sekarang kita nak temuramah remaja handsome ni pulak!" teriak Karimah kepada sekalian penonton. Dia berlari-lari anak menarik tangan remaja lelaki berkenaan dan mengajaknya duduk di atas bangku batu.
"Err.. N..nama saya Mohsen.." beritahu remaja lelaki itu, gugup dan gementar.
"Ha.. Mohsen.. Boleh tak kak Carrie panggil you Sean aja?" balas Karimah lembut lunak.
"Err.. sebenarnya saya tak faham apa yang berlaku ni?"
"Ala Sean ni.. takkan lah tak kenal kat akak, Kak Carrie, C.A.R.R.I.E yg vogue the vast, pengacara hot Terhangat di pasaran tu?"
"Apa dia? Terhangat di pasaran?" terkejut besar Mohsen mendengar. "Astagfirullah.. program maksiat tu! Program khurafat! Program zina! Berdosa besar program tu!"
"Eh.. Sean.." lidah Karimah menjadi kelu disembur oleh kata-kata mencemuh dan menjatuhkan air muka. Dia cuba hendak tersenyum tetapi rasa cemasnya pula tampak lebih ketara.
"Sudah! Sudah! Saya tak mahu bersubahat dengan program maksiat ni! Sudah!" terus Mohsen bangun menunjukan kemarahannya.
Karimah kancing gigi dan matanya terkebil-kebil.
"Bertaubatlah! Program macam ni boleh merosakkan masyarakat!"

Bert mengalihkan kameranya, merakam pergerakan Mohsen meninggalkan medan temuramah. Setelah lelaki itu pergi kian jauh, dia mengalihkan semula kameranya merakam air muka Karimah yang sedang pucat lesi dan tergamam. Namun, reaksi itu cuma untuk seketika , dan apabila Karimah sedar tingkahlakunya sedang menjadi perhatian umum, cepat-cepat dia menjerit, memaki Bert supaya mematikan lampu kamera.

"Bodoh! Rakam muka aku buat apa! Kau saja nak spoil aku! Tergugat akak hari ni!"
Sekali lagi Tina ketawa terbahak-bahak di hadapan kaca tv. Dia melontarkan beberapa keping pop corn ke skrin tv sebagai tanda mengutuk nasib malang menimpa Karimah. Entah kenapa program Terhangat Di Pasaran yang sepatutnya bercorak cabaran realiti itu, tetapi hari ini kelihatan seperti sitcom jenaka yang dilakonkan oleh badut-badut negara.

"Bengong punya betina.. puas hati aku! Kena fire sikit dengan mamat mohsen tu..cayalah Mohsen!" Tina terus menghamburkan ketawanya. Akan tetapi ketawanya itu tiba-tiba hirap apabila Sharifah mendadak muncul di hadapannya bersama sepasang telekung. Gadis itu menutup tv sambil bercekak pinggang.

Tina mendengus menyampah, memalingkan mukanya.
"Ha.. kau ni ketawakan si Carrie, Kau tu dah sembahyang ke belum? Asar dah nak habis..maghrib pula dah nak masuk." Tegur Sharifah lantang dan tegas.
Tina menarik muka masam.
"Sibuklah kau ni.. aku nak enjoy sikit pun tak boleh.." rungutnya.
"Dulu..kau tak macam ni pun! Sejak ada program Terhangat di Pasaran, aku tengok kau ralit sangat. Sampai sembahyang pun tunggang langgang..!"
"Eh, suka hati akulah! Aku bukannya kacau kau !"
"Apalah besar sangat peserta-peserta lelaki tu sampai kau fanatik macam orang hilang akal!"
"Eh kau ni.." tingkah Tina, tercabar. "Overlah!"
"Memang aku over! Buat apa nak diagungkan mamat-mamat tu semua! Kalau mereka tu berak ke, kentot ke, busuk gak!"
"Hei!" Tina bingkas meradang. "Apa kau cakap benda-benda kotor macam ni! Kalau nak sound orang pun biarlah berpada-pada.."

Sharifah menggeleng-geleng kepala kekesalan. Ternyata usahanya untuk menyedarkan kawannya itu belum lagi membuahkan hasil. Hati Tina terlalu keras. Jiwanya sudah mabuk dirasuk oleh ketaksuban kepada manusia yang serba lemah dan kekurangan, sedangkan minat sebenar harus ditujukan seratus peratus buat Allah yang Maha sempurna lagi suci dari segala cacat cela.
"Natsuda dan Harry aku tu takkan kentot dan berak. Mereka tu suci.. kalau dia orang pegi tandas pun.. mesti wangi.." Tina masih cuba membela dirinya, biarpun hujahnya itu ternyata daif dan kosong.

Sharifah senyum lucu mendengar. Kenyataan Tina itu langsung tidak boleh hendak diterima oleh logik akal. Masakan seorang manusia boleh terpelihara dari pergi ke tandas atau melepaskan hajat, sedangkan itu satu keperluan dan kemestian. Tanpa hakikat itu, seseorang manusia mungkin boleh jatuh sakit atau mengalami keracunan tubuh badan.
"Sudahlah Tina.. aku tak mahu bertekak dengan kau pasal perkara ni.. This is nonsense.. you're too fanatic!" putus Sharifah akhirnya. Mengalah bukan kerana kalah tetapi kerana ia hanya usaha membuang masa. Kepala Tina sudah terlalu membatu sehinggakan air paling dingin sekali pun belum tentu dapat melembutkannya.
"Ha.. tahu pun nonsense.. so lain kali jangan memandai-mandai nak sound aku!" tempelak Tina bangga.
"Whatever!"

Sharifah memalingkan tubuhnya lantas beredar. Tina terkikih-kikih ketawa sendirian apabila mengenangkan hujah bodohnya tadi. Baru disedarinya betapa dia terlalu meminati lelaki-lelaki itu sehinggakan pada pandangannya mereka terlalu sempurna, sedangkan setiap manusia itu hakikatnya Tuhan ciptakan dengan 1001 kelemahan dan kekurangan.
"Ah, biarlah aku nak imagine apa-apa.." dia membuat kesimpulan mudah. "Kepala otak aku, aku punya sukalah! Lagi pun bukannya kena bayar!" lanjutnya bersahaja sambil melenggang malas menuju ke bilik air.

Bersambung….
try , Rabu, Disember 27, 2006 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog