~Apa tidak kesal di hati Padi kutanam tumbuhnya lalang~
Sangat sukar kehidupan ini. Berkahwin susah, tak pun kahwin susah. Derita salah, bahagia pun salah ! Habis mana lagi mahu dituju. Bukan dia terlalu pesimis dalam hidup ini, cuma menyedari diri terlalu kerap diuji. Kadang waktu gagal memujuk diri yang hampir tersungkur di kaki takdir. Adakah kesilapan masa lalu akan terus menghantui hidupnya kini dan akan datang ?
"You jangan ingat you dah senang Riana. Bila-bila masa I boleh buat you down tahu. Apa ingat I tak tahu you dulu bohsia ? Hemmm ??"
Terkesima. Adakah kerana dendam telah mendesak gadis ini untuk menyiasat latar belakang dirinya sehingga ke akar umbi ?
"Remie mungkin bodoh dan lemah, sebab terpedaya dengan pujuk rayu you tu. Tapi tidak mak mentua you kan ? Tentu dia menyesal bermenantukan you kalau dia tahu you ni perempuan liar. Perempuan takde maruah yang memerangkap Remie sebab takde siapa lagi yang nak kutip you kan ?"
Pang ! Satu habuan dihadiahkan untuk perempuan bermulut celupar. Elly terpana seketika sambil menekup pipinya.
"Fahamlah hakikat hidup. Kalau Remie tak suka nak jumpa you lagi, anggap saja you dah tak cukup menarik untuk pikat dia. Jangan salahkan orang lain."
Namun seperti yang dizahirkan dari penampilannya, perempuan itu takkan mudah mengalah.
"Hei ! Apa you cakap ? Jangan salahkan you ? Oh, pandai nak elakkan diri. You yang rampas kekasih orang, entah-entah you bomohkan Remie sampai dia ikut cakap you, kemudian you halang dia dari jumpa I, sekarang you kata you tak salah ? Ha ?"
Riana tertawa sinis. Bagaimana gadis semoden ini boleh mengaitkan kehilangan kekasihnya dengan bomoh. Apalah yang telah merasuknya untuk berfikiran begitu.
"Cik Elly, you kata dah sepuluh tahun jadi kekasih Remie. Tapi sebenarnya you masih tak kenal Remie betul-betul ya. You ingat ada sesiapa boleh halang Remie daripada buat sesuatu yang dia suka ? Kalau betul dia sukakan you, tergila-gilakan you, even I atau emak dia sekali pun, takkan dapat halang dia daripada jumpa you. Betul tak ? That's mean dia dah tak suka pada you lagi, am I right ? Bye bye…"
Meninggalkan perempuan itu terkebil-kebil di sisi keretanya mungkin tampak seperti dia begitu gah dan tidak terusik langsung dengan pertemuan itu, namun hati di dalam hanya Tuhan yang tahu. Tercalar.
Dari sinar mata Elly dia dapat melihat kepedihan diabaikan Remie. Sepuluh tahun bersama, kini ditinggal-tinggalkan, bukan sesuatu yang mudah untuk diterima. Dia pernah menghadapi itu dan dia pernah merasai sengsara penangan cinta Remie. Namun apalah daya Riana sebagai seorang pesaing.
Menyarankan Remie menikahi Elly ? Huh ! Bukan dia yang mendambakan payung emas di syurga. Bukan dia orangnya yang menempah maut sendiri. Apa erti payung emas kalau hati tidak redha. Dia tidak mahu menjadi isteri yang sentiasa menyimpan sakit hati terhadap suami sendiri. Terlalu besar hukuman di alam sana nanti andai Remie tidak mampu berlaku adil. Dan setelah tiga tahun berusaha untuk mengenali Remie kini dia tahu bukan mudah untuk lelaki itu menurut sebenar-benar syariat yang ditetapkan.
"Kenapa sejak akhir-akhir ni selalu termenung ? Saya dah ada depan mata pun ingat orang lain lagi ke ?"
Riana melirik pandang. Remie tersenyum sambil memegang majalah Maskulin. Hairan, bila masa pula dia suka membaca majalah. Selalunya apa yang dibacanya cumalah kertas-kertas kerja yang melambak dan juga buku-buku berkaitan perniagaan. Kebelakangan ini dia kelihatan senang selalu. Mungkin kerana urusan perniagaannya berjalan lancar.
"Sejak bila baca Maskulin ni ?"tanya Riana sambil merapat kepada Remie yang sedang berlunjur di katil. Kepalanya direbahkan di riba Remie. Maskulin diletakkan di sisi lalu Remie meraut rambut panjang Riana yang terhampar di ribanya.
"Kenapa ? Takut saya bertambah macho, takut ramai orang minat laki awak ?"guraunya. Riana ketawa kecil. Mood Remie sedang baik. Masa inilah kalau hendak bermanja dan bergurau atau bertanya apa-apa. yang agak sensitif. Namun dia masih ragu, perlukah dia menimbulkan hal tentang Elly pada saat itu.
"Awak tak jawab lagi soalan saya…"
Riana mendongak memandang Remie. Keningnya berkerut.
"Kenapa selalu menung ? Ingat siapa ?"jelas Remie.
"Ohh…."
Riana beralih mengiring ke kiri. Tangannya masih erat di dalam genggaman Remie yang sedang menanti jawaban.
"Ingat Elly…"tutur Riana perlahan.
"Ha ? Madu awak tu ? Awak yang ingat dia, bukan saya ?"balas Remie dengan ketawa. Tubuh Riana dibalikkan agar menentang pandangannya. Riana mencubit paha Remie dengan geram.
"Bila pulak saya ada madu ?" Riana memuncung. Remie pula masih tersenyum-senyum. Tubuh Riana didakapnya erat.
"Yela…mana tahu awak nak suruh saya kahwin dengan dia. Jadilah madu…"guraunya lagi. Riana semakin menarik muka.
"Dah berapa lama awak tak pergi rumah dia ?"
Kali ini Remie betul-betul terperanjat. Rianakah yang bertanya begitu ?
"Kenapa ni ? Awak nak suruh saya pergi rumah dia ke ? Awak ni betullah…saya selalu ada dengan awak salah, saya tak balik rumah pun salah. Apa yang awak nak ?"
Remie bingkas bangun mencapai kotak rokok di atas meja lalu keluar ke beranda. Riana mengekori dengan pandangan mata.
Dia belum pun berkata apa-apa tentang Elly Remie pula telah membuat andaian awal. Seketika kemudian Riana turut bangun dan menyusul Remie di beranda selepas menyarungkan tubuhnya dengan baju luar. Udara malam pastinya dingin. Di luar Remie tersandar di atas kerusi malas sambil pandangannya tajam merenung pemandangan malam yang dihiasi kuning putih cahaya lampu. Asap rokok berkepul ke udara. Dia menarik nafas dalam-dalam.
Elly. Memang sudah agak lama dia tidak menemui gadis itu. Tentu dia keresahan mencarinya bagai cacing kepanasan. Kesibukan kerja membuatkan masanya agak terbatas untuk mendampingi Elly seperti selalu. Elly pula jarang menghubunginya bagaikan merajuk. Lagi pun sejak dua tiga bulan ini dia lebih suka pulang tidur di rumah. Riana dan kondominium Sri Bayu bagai sentiasa melambai kepulangannya selepas usai urusan kerja.
Di benaknya ada terfikir yang selama ini dia bagaikan lelaki bodoh yang tidak tahu pelabuhan mana harus disinggah. Sekejap ke hulu sekejap ke hilir. Sampai bila harus begitu sedangkan di pengakhirannya dia harus membuat keputusan tepat. Tidak mungkin dia boleh bergilir-gilir antara Riana dan Elly sehingga bila-bila. Itu kerja gila. Namun kerja itulah yang telah dilakukannya sejak setahun lalu.
"Marah ke ?"tegur Riana lembut. Remie menoleh sekilas tanpa senyuman. Jejari Riana yang singgah di bahunya dipegang lembut. Dia tidak marah cuma berasa keliru saat terkenangkan Elly. Kalau boleh dia tidak ingin berbicara tentang itu. Tetapi sampai bila mahu menjadi pelarian. Sampai masanya Elly pasti menuntut haknya.
"Kenapa tiba-tiba cakap pasal Elly ? Awak tak suka saya selalu ada di rumah ni ?"
Riana tersentak. Dia telah membuat keadaan menjadi tegang. Sesekali dia tidak ingin membuat Remie marah atau tersinggung namun dia sedar perkara ini harus ada penyelesaian. Lambat-laun pasti berbangkit jua.
"Bukan. Awak kan suami saya. Tentu saya suka awak selalu bersama saya. Tapi Elly… dia sedang bersedih. Dia kata awak dah lama mengabaikan dia. Saya faham perasaan dia… dia dah mencintai awak lama sebelum saya, tentu dia marah kalau tiba-tiba awak tak pedulikan dia."balas Riana perlahan. Perasaannya sayu terkenangkan Elly. Perempuan itu walau pun kelihatan berjiwa keras namun hakikatnya hati wanita, siapalah yang dapat merasai kepedihan kecuali diri sendiri.
Remie menarik Riana supaya duduk di pangkuannya. Kedua-dua tangannya melingkari tubuh kecil itu dengan telapak tangannya diletakkan di perut Riana yang leper. Hidungnya mencium harum rambut Riana. Selesa. Memeluk Riana bagai memberi pengertian dia sedang melindungi wanita itu dari segala bencana dan dendam manusia. Remie mulai sedar tangan yang dia ada cumalah dua. Mana mungkin dia memberi perlindungan kepada lebih dari seorang wanita.
"Sudahlah. Tak payah risau-risau pasal orang lain ok. Yang penting awak fikirkan pasal kita je. Saya laki awak, awak bini saya. Dah, titik."putus Remie. Riana melepas keluhan kecil. Remie sejak dulu suka meminggirkan masalah, bukan mencari penyelesaian. Sedangkan Riana pula rimas kalau membiarkan sesuatu perkara tanpa ada kata putus.
"Tapi sampai bila nak biar keadaan macam ni. Saya takut datang masalah lain pulak nanti, awak juga yang susah."
"Sudah ! Masalah saya biar saya yang fikirkan. Awak tak payah nak risau tak tentu pasal." Keras suara Remie. Dia lalu bangun menuju ke katil. Hati Riana dipagut kesal.
Perlahan-lahan dia menutup pintu gelongsor dan menarik rapat tirai dua lapis menutupi pintu kaca jernih itu. Lampu bilik tidur ditutup selepas menyalakan lampu tidur yang malap. Kemudian dia turut berbaring di katil. Tubuh Remie yang sedang menelungkup itu dipeluk erat.
"Janganlah marah, saya cakap je…"pujuknya lembut. Remie membatukan diri. Ketika tangannya mula memegang punggung Remie, barulah suaminya itu tergelak dan menepis. Tubuhnya dibalikkan ke arah Riana.
"Lain kali jagalah tepi kain orang lagi. Nanti saya tak balik rumah setahun baru awak tahu."ugutnya. Riana senyum mengejek.
"Yakah ? Saya tak hairan pun ?"
Remie menjegilkan matanya.
"Tak hairan kata awak. Tengoklah nanti…"
"Ni, sebuk-sebuk hal orang, hal awak bila nak fikir?"soal Remie semula.
"Hal apa ?"
"Hal awak la…bila nak mengandung ? Hari tu kata nak anak sangat."
Riana tersenyum panjang. Perasaannya bagai dijolok. Gembira dan bagai tidak percaya Remie tiba-tiba bercakap tentang anak. Ketika itu terasa kasihnya buat Remie melimpah-ruah bagai air di musim tengkujuh. Remie diciumnya penuh cinta kasih.
"Malam ni kot saya start mengandung…"
Remie turut tersenyum sambil memeluk isterinya erat.
Bersambung..................

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "