Dubai, 6 Julai : Dubai merancang pembinaan bandar dengan suhu terkawal yang turut merangkumi pusat beli-belah terbesar di dunia serta taman tertutup, hotel, resort kesihatan serta panggung wayang.
Projek dikenali sebagai 'Mall of the World' (Pusat Beli-Belah Dunia) itu dicadangkan seluas 48 juta kaki persegi, kata Dubai Holding, syarikat pembangunan dimiliki pemimpin Dubai, Sheikh Mohammed Rashid al-Maktoum.
"Projek itu turut merangkumi taman tema tertutup terbesar di bawah kubah kaca yang boleh dibuka pada musim sejuk," kata satu kenyataan.
Menurutnya, laluan sepanjang tujuh kilometer (km) yang menghubungkan semua kemudahan juga tertutup dan dilengkapi pendingin udara sepanjang musim panas.
GAMBARAN pusat beli-belah Mall of the World.
"Cita-cita kami tidak terhad hanya kepada beberapa musim percutian. Pelancongan adalah punca pendapatan utama kami dan kami berazam menjadikan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) destinasi menarik sepanjang tahun.
"Jadi kami akan memulakan kerja-kerja membina lokasi yang suhunya terkawal untuk memastikan keselesaan pengunjung pada musim panas," katanya.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan bila kerja pembinaan akan dimulakan, atau kos projek berkenaan.
Dubai berharap 'Mall of the World' itu mampu menarik lebih 180 juta pelancong setiap tahun. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan