Isnin, 14 April 2014

Kejayaan baru pembedahan hidung

Paris, 12 April 2014 - Sekumpulan pakar bedah di Switzerland semalam mendakwa mereka menjalankan pembedahan pertama seumpamanya untuk memperbaiki hidung yang rosak akibat kanser menggunakan tisu yang tumbuh dari sel rawan pesakit itu sendiri.
 
Teknik berkenaan membabitkan pembinaan semula apa yang dipanggil sayap alar hidung, lubang hidung selepas dibuang disebabkan kanser kulit.
Pada masa ini kaedah yang digunakan ialah cantuman tulang rawan diambil dari telinga, septum hidung atau tulang rusuk yang menjadi tambahan dan sering kali menjadi pembedahan menyakitkan kepada pesakit.
 
Sepasukan pakar diketuai Profesor Ivan Martin dari Universiti Basel mengambil sampel kecil sel rawan yang dipanggil chondrocytes, dari pesakit berusia antara 76 dan 88 tahun.
 
Mereka mendapatkan sel itu menggunakan satu bahan kimia faktor pertumbuhan dan 'menyemai' dalam membran dibuat daripada kolagen babi di mana sel tumbuh selama dua minggu.
 
Dibentuk berdasarkan kawasan hidung yang akan digantikannya, cantuman kejuruteraan kemudian dijahit di tempat berkenaan dan ditutup dengan lapisan kulit konvensional.
 
Dalam satu penilaian setahun selepas itu, implan berkenaan didapati stabil dan semua pesakit gembira dengan penampilan dan keupayaan mereka untuk bernafas.
 
"Tulang rawan kejuruteraan itu mempunyai keputusan klinikal setanding dengan standard emas pembedahan tulang rawan," kata Martin.
 
"Teknik baru ini boleh membantu tubuh menerima tisu baru dengan lebih mudah dan meningkatkan kestabilan serta fungsi lubang hidung."
 
Lapan tahun lalu, empat remaja menjalani rawatan revolusi untuk membetulkan sindrom Mayer-Rokitansky-Kuester-Hauser, sejenis penyakit yang jarang berlaku yang menyebabkan faraj tidak terbentuk. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan