SEBAHAGIAN ubat tiruan yang dirampas oleh Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan di ibu negara baru-baru ini.
KUALA LUMPUR : Senario penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar atau tiruan di pasaran cukup membimbangkan pengguna di negara ini.
Buktinya sepanjang tahun lalu Kementerian Kesihatan merampas sebanyak 12,408 ubat tersebut dengan nilai hampir RM20 juta.
Antara ubat-ubatan itu ialah pelangsing badan, perangsang seks, pemutih kulit serta beberapa ubat berjenama palsu termasuk ubat demam, batuk, dan minyak angin.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman menjelaskan, jumlah rampasan itu merupakan yang tertinggi sejak dua tahun kebelakangan ini ekoran permintaan daripada pengguna, sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab selain peranan sindiket terancang.
"Kita dapati kewujudan ubat seperti ini juga disebabkan oleh pengaruh gaya hidup orang ramai, contohnya mahu kurus dengan cepat serta mempunyai kekuatan seks tanpa memikirkan kesan sampingan," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan