KUALA LUMPUR, 7 Sept - Terapi ekspresif seni adalah sesuai untuk menangani pelajar yang bermasalah, kata seorang pakar kaunseling.
Presiden Persatuan Perkhidmatan Kaunseling Pelajaran Kuala Lumpur (KLCA), Profesor Madya Dr Abdul Halim Mohd Hussin berkata ia merupakan alternatif untuk menyelami jiwa pelajar yang mempunyai masalah disiplin atau masalah peribadi.
"Dengan menggunakan elemen seni, ia dapat mengenali diri pelajar menerusi muzik, lukisan dan penulisan yang mereka hasilkan dan seterusnya dapat membantu guru mendekati pelajar ini," katanya kepada pemberita pada majlis penutup Seminar Peningkatan Profesionalisme di sini pada Rabu.
Seminar dua hari anjuran KLCA itu disertai 470 guru kaunseling di Wilayah Persekutuan bagi berkongsi ilmu dan idea untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.
Beliau menjelaskan antara teknik terapi tersebut ialah dengan meminta pelajar membuat topeng muka yang secara tidak langsung akan menggambarkan personaliti diri mereka.
Dr Abdul Halim juga berkata fungsi Pusat Bimbingan dan Kaunseling Sekolah perlu diperluaskan sebagai sebuah pusat pembangunan kecemerlangan pelajar.
"Melalui cara ini, pelajar yang lemah boleh dibantu menjadi lebih kuat, pelajar yang terbaik digalakkan menjadi lebih cemerlang sementara pelajar yang berbakat disokong supaya menjadi lebih berbakat," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan