Khamis, 8 September 2011

Kapsul belon untuk pelancong lihat Bumi

BARCELONA - Sebuah syarikat Sepanyol mencipta sebuah kapsul yang akan membawa pelancong ke stratosfera Bumi dengan menggunakan belon helium pada 2013, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Stratosfera berada pada ketinggian di antara 12 hingga 50 kilometer dari Bumi.

Syarikat Zero 2 Infinity itu mengenakan tambang sebanyak £90,000 (RM442,734) untuk setiap pelancong yang berada di dalam kapsul tersebut selama lima jam.

Para pelancong akan menikmati pemandangan Bumi. Kapsul tersebut direka supaya mereka boleh memakai baju-T semasa berada di dalamnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Zero 2 Infinity, Jose Mariano Lopez-Urdiales berkata, dia mendapat idea untuk melaksanakan projek tersebut sepuluh tahun lalu.

Setakat ini tiga ujian sudah dilakukan pada jarak 32.18 kilometer dari bumi.

Para pelancong akan disajikan makanan semasa mereka berada di dalam kapsul itu. - Agensi

 

+

Projek belon angkasa 2013

LONDON 24 Ogos - Usahawan yang suka melancong ke tempat-tempat yang 'luar biasa' akan berpeluang mengembara ke ruang stratosfera Bumi dengan menaiki belon udara dalam tempoh dua tahun dari sekarang, apabila siapnya projek belon angkasa oleh syarikat dari sepanyol.

Belon yang diberi nama The Bloon mempunyai ukur lilit 129 meter dan mampu terbang setinggi 35.4 kilometer.

Kos bagi menikmati pengalaman selama lima jam itu ialah kira-kira 90,000 pound (RM441,661) seorang, dan ia menawarkan 'pelancongan angkasa' untuk melihat bentuk lengkungan Bumi.

Keadaan dalaman kapal angkasa' itu agak selesa dengan kabin seluas 4 meter persegi, serta mampu memberi ruang selesa untuk dua juruterbang dan empat penumpang.

Semasa 'pengembaraan sekali seumur hidup itu', pelawat akan merasai pengalaman mengembara pada ketinggian di mana mereka boleh menikmati pemandangan matahari terbit.

Belon itu yang dijadual memulakan misi pertamanya pada 2013, merupakan idea sebuah syarikat Sepanyol, Zero 2 Infinity.

Syarikat itu mendakwa belon tersebut mampu terbang ke pelbagai arah dengan selamat untuk mendarat di tapak yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut, Jose Mariano Lopez-Urdiales berkata, beliau mendapat inspirasi untuk menjalankan projek itu semasa berbual dengan ayahnya yang merupakan seorang ahli astronomi.

Setakat ini, dia telah menjalankan lima ujian penerbangan, yang mencapai ketinggian 32 kilometer, tiga kali ganda daripada ketinggian penerbangan kapal terbang. - AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan