KUCHING, 4 Mac - Sebuah ekspedisi saintifik ke kawasan Perlindungan Hidupan Liar Lanjak Entimau (LEWS) di bahagian timur Sarawak yang belum diteroka, pada Jun tahun lepas membawa kepada penemuan spesies baru Rhizanthes (Rafflesiaceae) atau dikenali oleh masyarakat setempat sebagai 'jambu lipa', yang jarang ditemui.
Berdasarkan hasil penyelidikan oleh dua penyelidik, Donna Jackson dan Kamarudin Mat-Salleh dari Universiti Putra Malaysia, Kampus Bintulu, bunga besar itu, yang mempunyai 16 bahagian tambahan menyerupai ekor sepanjang 8.5sm dan garis pusat bunga 22-24sm, adalah unik kerana ia meniru bau busuk daging yang mereput bagi membantu menarik serangga yang mendebungakannya.
Tumbuhan berkenaan memiliki ciri-ciri istimewa, termasuk corak batik jingga putih di sebahagian daripada setiap tepal (bahagian luar bunga, termasuk kelopak atau kelopak daun) dengan rerambut yang amat tebal menutupi keseluruhan bahagian dalam tepal, ditemui kira-kira 500 hingga 800 meter dari laluan kajian di sepanjang Sungai Joh dan Sungai Layak, sebuah hutan primer tepi sungai.
Ketua ekspedisi itu, Prof Dr Mohamed Abdul Majid hari ini berkata Rhizanthes, sejenis tumbuhan parasit yang boleh ditemui hidup di atas tumbuhan lain, mempunyai potensi ekopelancongan.
"Kita ada Rhizanthes lain yang jarang ditemui di Semenanjung dan Sabah tetapi ini adalah spesies baru," katanya kepada pemberita selepas pelancaran "Seminar Biokepelbagaian Timur Lanjak Entimau - Permata yang Terlindung di Sarawak" oleh Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak Mohamad Naroden Majais di sini.
Seminar dua hari itu, anjuran bersama Akademi Sains Malaysia, Jabatan Perhutanan Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menarik lebih 150 peserta, termasuk mereka yang mengambil bahagian dalam ekspedisi itu selain pembuat dasar dari agensi kerajaan serta badan berkanun yang berkaitan.
Ia adalah susulan kepada ekspedisi saintifik itu, yang diadakan dari 16-29 Jun tahun lepas, bagi menyediakan peluang kepada mereka yang menyertai ekspedisi berkenaan untuk membentang dan menyenaraikan penemuan mereka.
Prof Mohamad, yang juga Fellow Akademi Sains Malaysia, berkata banyak spesies baru flora dan fauna yang ditemui, khususnya daripada keluarga halia.
"Kami akan meneruskan ekspedisi di LEWS yang memiliki kekayaan dan keunikan luar biasa. Kami hanya meliputi 40 peratus daripada keluasan LEWS 168,758 hektar. Kami menjangkakan lebih banyak spesies flora dan fauna yang baru, jarang ditemui serta luar biasa akan dijumpai," katanya.
Ekspedisi itu disertai 175 saintis dari institusi tempatan dan luar negara, termasuk Brunei, Indonesia, Jerman dan Jepun. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan