BAITULMAQDIS: Dasar membunuh golongan sasaran tentera Israel didedahkan buat kali pertama apabila seorang bekas anggota skuad pembunuh itu menceritakan peranannya dalam satu serang hendap yang mengorbankan dua penduduk Palestin selain dua militan.
Laporan akhbar The Independent menyebut, operasi yang berlaku lapan tahun lalu, pada permulaan Intifada kedua, menyebabkan bekas penembak tepat itu mengalami masalah psikologi dan sehingga hari ini tidak pernah memberitahu ibu bapanya mengenai pembabitan beliau dalam apa yang digelar 'pembunuhan pertama Intifada secara bersemuka.'
Ketika Intifada dilancarkan, sasaran pembunuhan menjadi senjata tentera Israel terutama di Gaza. Sasaran paling utama ialah pengasas Hamas, Sheikh Ahmed Yassin diikuti Abdel Aziz al-Rantisi pada 2005 dan terbaru ialah Said Siyam.
Namun mensasarkan militan bawahan, seperti yang terkorban dalam operasi yang diceritakan bekas tentera itu, tidak begitu menarik perhatian.
Kejadian yang diceritakan kelihatan tidak penting berbanding segala apa yang berlaku sejak itu di Gaza, apabila lebih 1,300 penduduk Palestin maut dalam serangan yang dilancarkan rejim Zionis bermula akhir tahun lalu.
Malah ia mungkin dilupakan oleh semua kecuali yang terbabit secara langsung, jika tidak kerana keterangan luar biasa yang diberikan kepada persatuan bekas tentera, Breaking the Silence, yang mengumpulkan keterangan daripada beratus-ratus bekas askar mengenai apa dilihat dan dilakukan termasuk mendera penduduk Palestin sepanjang perkhidmatan mereka.
Bekas anggota tentera itu berkata, unit khas yang dianggotainya dilatih untuk membunuh, tetapi ketika diberikan ia sekadar operasi menangkap. Mereka cuma membalas tembakan jika sasaran mempunyai senjata.
"Kami kecewa kerana ia sekadar operasi menangkap kerana kami mahu membunuh," katanya.
Sasaran mereka ialah pejuang Palestin, Jamal Abdel Razeq, yang duduk di tempat duduk penumpang dalam Hyundai gelap dipandu ke arah Khan Younis oleh rakannya, Awni Dhuheir. Kedua-duanya tidak menyedari perangkap menanti mereka berhampiran persimpangan Morag. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan